Expired : 18.06.18

Hasil untung perniagaan haram perlu dilapor LHDN


KOTA BHARU, 4 Rejab 1440H, Isnin –  Keuntungan hasil perniagaan yang dijalankan secara haram perlu dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Sabin Samitah.


Katanya, LHDN kini memberi peluang kepada semua individu untuk melaporkan pendapatan mereka menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela yang dilancarkan bermula November tahun lepas hingga Jun ini.


“Kita harap peniaga yang menjalankan aktiviti haram seperti pembalakan ataupun penjualan ikan kepada nelayan asing di tengah laut agar dapat tampil dan menyertai program ini.


“Kita ada banyak maklumat yang disalurkan oleh agensi-agensi kerajaan yang lain. Jumlah yang terbabit tak dapat didedahkan dan kita mempunyai pasukan khas untuk tangani perkara ini,” katanya pada sidang media sebelum Program Khas Pengakuan Sukarela dan Isu Percukaian Perniagaan Atas Talian di sini, hari ini.


Hadir sama Pengarah LHDN Kelantan/ Terengganu, Kamaruzaman Muhammad.


Sabin berkata, peniaga yang terbabit dengan aktiviti haram tidak perlu risau terhadap tindakan undang-undang daripada agensi keselamatan kerana maklumat mereka akan dirahsiakan.


Beliau turut mengingatkan peniaga yang beroperasi di sempadan Malaysia-Thailand terutama di negeri ini untuk turut serta dalam program berkenaan bagi mengelakkan mereka dikenakan penalti yang lebih tinggi jika dikesan selepas program itu tamat.


“Kalau kita dapati mereka ada aset yang tinggi tapi tak buat pelaporan cukai kita akan siasat dan akan kenakan penalti yang lebih tinggi. Sekarang penalti adalah 10 peratus sebelum 15 Mac ini dan kalau mereka datang sekarang kita tak tanya mereka banyak soalan.


“LHDN juga tak lihat jauh ke belakang sebab tempoh untuk audit tidak lagi merangkumi tempoh yang panjang seperti sebelum ini. Kita pendekkan tempoh kepada dua, tiga tahun sahaja dan pembayar cukai hanya perlu simpan rekod sehingga tujuh tahun sahaja,” katanya. – Bernama



The post Hasil untung perniagaan haram perlu dilapor LHDN appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop