Expired : 18.06.18

Hasrat kerajaan PH wujud akta benih bakal naikkan harga beras

Sekumpulan aktivis hari ini memberi amaran bahawa harga beras sebagai makanan utama rakyat negara ini akan melonjak naik sekiranya kerajaan meneruskan niat memperkenalkan undang-undang benih tidak lama lagi.


Perkara itu disuarakan dalam Forum Keselamatan dan Kedaulatan Makanan Malaysia di Kuala Lumpur yang membincangkan secara meluas rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memperkenalkan undang-undang baru itu.


Menurut mereka, undang-undang benih yang dicadangkan itu boleh menggalakkan monokultur tanaman dan oligopoli oleh syarikat-syarikat besar.


“Kalau beberapa sahaja jenis benih yang (diluluskan untuk ditanam) tapi di tangan syarikat swasta. Ini bermakna monopoli mungkin berlaku.


“(Kesannya), harga beras akan naik, jenis makanan di pasaran pula akan turun, (begitu juga) pilihan, kualiti dari segi khasiat dan rasa,” kata ahli forum Chee Yoke Ling pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.



Chee, yang juga pengarah Third World Network, berkata monokultur sering mengalami masalah dengan zat makanan, serta penggunaan bahan kimia.


Penyelaras forum Fitri Amir pula berkata ini akan menjejaskan semua jenis tanaman makanan, termasuk buah-buahan.


Walaupun perladangan monokultur membawa kepada hasil yang lebih tinggi, pengkritik mendakwa bahawa menanam tanaman yang sama berulang kali memudaratkan nutrien tanah secara semulajadi dan memaksa petani untuk menggunakan baja kimia, yang seterusnya menjadikan tanaman kurang berkhasiat.


Ia juga membuat tanaman lebih mudah terdedah kepada perosak dan penyakit, yang akhirnya menggalakkan penggunaan bahan kimia tambahan ke atas tumbuh-tumbuhan.


Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub, bulan lalu memaklumkan kepada Parlimen bahawa rang undang-undang benih adalah hampir 99 peratus siap dan akan digunakan, khususnya untuk mengawal mutu benih padi.


The post Hasrat kerajaan PH wujud akta benih bakal naikkan harga beras appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop