Expired : 18.06.18

Hidup atas belas ihsan orang ramai [METROTV]

MOROGORO: “Kemiskinan dialami rumah anak yatim ini jauh lebih sengsara berbanding pusat sama (rumah kebajikan) di Malaysia. Sukar dibayangkan bagaimana mereka mampu hidup tanpa (bekalan) elektrik, air bersih dan makanan mencukupi,” ujar Presiden Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care), Zulkifli Wahijan.


Dia yang turut melawat Pusat Anak Yatim Raya Islamic di pedalaman Tanzania bersama wakil Badan Kebajikan Islam Petronas, Hishamuddin Ibrahim jelas tersentuh apabila meninjau kemudahan asas dan kekurangan infrastruktur pada pusat kebajikan itu.


“Mereka semua beragama Islam dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Jika di Malaysia, pastinya pusat seumpama ini dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat atau Majlis Agama Islam negeri.


“Malangnya mereka hanya mengharapkan ihsan orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup padahal rata-rata penduduk sekitar kawasan ini juga dalam kalangan petani miskin,” katanya.



Menurutnya, Muslim Care Malaysia yang memfokuskan kerja amal kebajikan di seluruh dunia memberikan bantuan awal kepada pengurusan Pusat Anak Yatim Raya Islamic itu.


“Keperluan paling mendesak dikenal pasti adalah usaha menyiapkan bumbung pada bahagian dapur rumah anak yatim itu.


“Selain itu penghuni amat memerlukan tangki air besar bagi kegunaan harian mereka. Pihak kami akan membiayai kos melengkapkan dua keperluan asas ini,” katanya yang turut memberikan sumbangan kewangan kepada pengurusan Pusat Anak Yatim Raya Islamic.


ZULKIFLI bersama anak yatim.



Zulkifli berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan dana khusus melalui sumbangan rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada pusat kebajikan itu.


“Wakil kami di sini (Tanzania) yang juga pensyarah universiti, Dr Issa Omar Malecela
akan menyelia dan memastikan bantuan itu disalurkan terus kepada pusat kebajikan ini.


“Muslim Care Malaysia mahu memastikan kebajikan anak yatim ini terbela sama seperti usaha dilakukan kami terhadap pusat anak yatim di Bukit Beruntung, Selangor, Filipina dan Kemboja tahun ini,” katanya.