Expired : 18.06.18

Himpunan 8 Disember bakal catat sejarah umat Islam


BANGI, 27 Rabiulawal 1440H, Rabu – Himpunan aman dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu ini bakal dicatatkan sebagai sejarah umat Islam kerana berjaya mengetepikan fahaman politik kepartian demi agama dan bangsa.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, himpunan itu bukan bersifat demonstrasi sebaliknya ia adalah himpunan ummah.


Tujuan himpunan itu katanya, untuk memberitahu dunia walaupun orang Melayu menghormati bukan Melayu dan bukan Islam, cubaan untuk merampas hak orang Melayu dan menghina Islam tidak dibenarkan.


Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak tertentu berhenti daripada membuat cubaan untuk membawa sentimen perkauman dan memecah-belahkan Melayu.


“Sejarah membuktikan bahawa Islam dan Melayu telah banyak berkorban dan sanggup berkongsi segala kelebihan yang ada di negara ini dengan bangsa lain tanpa kita mengungkit atau berkira.


“Ini pesanan yang kita harus sampaikan kepada mereka yang tidak menghormati kita sebagai tuan rumah, yang telah banyak berkorban dan bertolak-ansur demi mengekalkan perpaduan dan kemakmuran yang telah kita sama nikmati,” katanya menulis dalam Facebook beliau, semalam.


Justeru, beliau mengajak umat Islam dan bangsa Melayu yang mengakui dan meyakini Islam perlu diletakkan ditempat tertinggi; dan bangsa Melayu perlu di pertahankan walau apa cara sekalipun; turun tanpa berkecuali menjadikan Himpunan Ummah perlu diingati oleh pihak yang cuba menyentuh hak dan kepentingan Melayu.


“Ayuh! Kita tunjukkan sokongan dengan memakai baju putih pada 8 Disember ini bagi yang tidak mampu turun ke Kuala Lumpur,” kata beliau.


The post Himpunan 8 Disember bakal catat sejarah umat Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop