Expired : 18.06.18

Himpunan 812: Hadi Awang berterima kasih kepada PM

BANGI, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – PAS menyambut baik nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada peserta yang bakal hadir pada Himpunan 812, esok.


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan malam ini berkata, parti itu menyambut baik kerjasama kerajaan, khususnya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bagi menjayakan himpunan aman itu.


Himpunan di depan Dataran Merdeka di ibu negara esok adalah kemuncak daripada beberapa siri perhimpunan aman anjuran Gerakan Pembela UMMAH, gabungan lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara, yang turut disertai parti politik, termasuk PAS dan UMNO.


Awalnya himpunan itu bertujuan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tetapi diubah kepada perhimpunan kesyukuran apabila kerajaan bersetuju untuk tidak menerima konvensyen itu.


Dr Mahathir dalam satu kenyataan video hari ini berkata, kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan himpunan kesyukuran anti-ICERD, esok.


Katanya, walaupun beliau melihat tiada keperluan lagi untuk perhimpunan itu diteruskan, kerajaan tidak akan menghalang untuk ianya diadakan atas dasar mendukung prinsip demokrasi.


“Cuma satu sahaja permintaan kerajaan, iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain dalam memastikan tidak berlaku kekacauan dan kerosakan ke atas harta benda awam.


“Jika boleh, jangan membuang sampah merata-rata dan jagalah kebersihan. Saya doakan perhimpunan itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Marilah kita bersama-sama meraikan demokrasi di Malaysia,” kata Perdana Menteri.


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS memberikan komitmen untuk mematuhi setiap arahan penganjur dan pihak keselamatan dari semasa ke semasa, bagi memastikan kejayaan perhimpunan ini.


“PAS juga menyeru semua rakyat untuk turut serta dalam menzahirkan pendirian terhadap ICERD dan seumpamanya, demi memelihara kerukunan dan keharmonian hidup yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.


The post Himpunan 812: Hadi Awang berterima kasih kepada PM appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop