Expired : 18.06.18

Himpunan 812: Polis ulangi amaran kepada peserta


KUALA LUMPUR, 29 Rabiulawal 1440H, Jumaat – Polis sekali lagi mengingatkan pemimpin dan peserta Himpunan 812 di Dataran Merdeka esok, supaya tidak melakukan provokasi atau membuat ucapan berbaur hasutan.


Serentak itu, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melakukan provokasi, kekecohan, mengganggu-gugat ketenteraman awam dan melanggar undang-undang.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak berkuasa menghormati kebebasan bersuara dan membenarkan perhimpunan itu diadakan.


Oleh itu, katanya, menjadi tanggungjawab pemimpin dan peserta perhimpunan itu untuk mematuhi undang-undang, terutama Akta Perhimpunan Aman 2012.


“Peserta perhimpunan diingatkan jangan mencetuskan sebarang provokasi termasuk terhadap anggota polis, tidak membawa senjata berbahaya dan kanak-kanak, serta perlu mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas.


“Kita mahukan perhimpunan yang aman, jangan timbulkan sebarang kekacauan dan perkara tidak diingini,” katanya di sini, hari ini.


Sehubugan itu, katanya, polis menempatkan anggotanya bagi melakukan kawalan keselamatan, serta melancarkan aliran lalu lintas.


Memetik laporan Berita Harian, beliau sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya menjaga pertuturan dan tidak membuat ucapan berbaur hasutan atau mengguris hati.


“Selain itu, peserta juga dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam, dan meletakkan kenderaan di luar kawasan tempat berkumpul bagi mengelakkan kesesakan.


“Orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama dengan tidak menularkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.


Himpunan esok adalah kemuncak daripada beberapa siri perhimpunan aman anjuran Gerakan Pembela UMMAH, gabungan lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh negara, bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


Bagaimanapun, pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.


Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.


The post Himpunan 812: Polis ulangi amaran kepada peserta appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop