Expired : 18.06.18

Himpunan aman 8 Disember tiada kaitan dengan isu kuil: UMMAH


Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin


BANGI, 21 Rabiulawal 1440H, Khamis – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menafikan bahawa himpunan aman besar-besaran yang bakal diadakan di Dataran Merdeka, 8 Disember ini mempunyai kaitan dengan isu rusuhan kuil Maha Mariamman, Subang Jaya, baru-baru ini.


Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, himpunan itu akan diteruskan seperti dirancang bagi menyatakan kesyukuran serta rasa berterima kasih kepada kerajaan yang telah menyatakan pendirian untuk menolak cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).


“Jadi jangan takut dengan dakwaan bahawa himpunan ini akan menimbulkan keresahan orang awam.


“Kami menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa himpunan ini ada kena-mengena dengan isu kuil. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dah buat kenyataan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun dah buat kenyataan, bahawa isu kuil itu tidak ada isu perkauman atau keagamaan tetapi hanya melibatkan antara pihak pemaju dan pentadbir kuil.


“Jangan jadikan isu itu untuk mengaitkan himpunan pada 8 Disember ini. Kita nafikan sekeras kerasnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pada masa sama, beliau turut memberi peringatan supaya tidak ada kumpulan yang mencuba untuk membuat kekecohan pada 8 Disember ini.


“Kita beri amaran supaya tidak melakukan perkara sedemikian dan jika ada, mereka akan diserahkan kepada pihak polis,” tegasnya.


Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan pihak polis di Ibu Pejabat Dang Wangi dan mereka tidak mempunyai halangan untuk himpunan ini diadakan.



“Mereka sentiasa akan bekerjasama bagi memastikan keselamatan setiap mereka yang hadir terjamin. Kita juga telah sama-sama bersetuju bahawa kita akan menyediakan pasukan keselamatan, yang diketuai oleh Ustaz Masridzi Sat.


“Pada masa sama, kita juga difahamkan bahawa seramai 3,000 sukarelawan berdaftar untuk bersama-sama menjaga keamanan termasuklah daripada pihak jabatan amal, dan juga pihak NGO sendiri,” katanya.


Pada masa sama, Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mengajak bukan sahaja parti pembangkang tetapi juga parti kerajaan kerana himpunan ini melibatkan isu Perlembagaan, agama, hak keistimewaan orang Melayu, Sabah dan Sarawak.


“Himpunan ini membuktikan suara rakyat penting. Marilah sama-sama kita berkumpul kerana kita menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan.


“Kalau kerajaan buat sesuatu perkara yang tak betul, maka kita kena bangun bersuara. Ini titik permulaan bahawa suara rakyat ini perlu didengari oleh pihak kerajaan,” katanya.


 


The post Himpunan aman 8 Disember tiada kaitan dengan isu kuil: UMMAH appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop