Expired : 18.06.18

Hormat macam bapa

Mahaizura Abd Malik


mahaizura@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada lelaki itu kerana sikap toleransinya tanpa mengira warna kulit. Meskipun kami tidak pernah kenal dia adalah seorang pemaaf.


“Paling bagus dia melayan dan menghormati saya macam bapanya sendiri,” kata pemandu teksi S Angadorai, 62, selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik seorang ahli perniagaan.


Dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Senawang, Negeri Sembilan jam 12.30 tengah hari, 15 November lalu, teksi dipandu Angadorai secara tidak sengaja melanggar Toyota Vellfire milik ahli perniagaan dikenali sebagai Mizan Dzai berusia 28 tahun itu.


Pemandu teksi itu yang dihubungi, semalam enggan mengulas lanjut, namun dia menyifatkan Mizan sebagai individu yang tidak berkira dan memiliki budi pekerti terpuji yang tinggi.


“Dia (Mizan) orang yang baik. Bukan saja tidak meminta bayaran ganti rugi kerosakan kenderaannya, tetapi turut menceritakan perkara positif dan baik-baik mengenai diri saya di media sosial.


“Malah, dia turut mempromosikan nombor telefon saya. Selepas kejadian itu ramai orang membuat panggilan termasuk mahu mendapatkan perkhidmatan teksi,” katanya.


Sementara itu, Mizan ketika dihubungi memberitahu budi bahasa dan pekerti mulia ditunjukkan Angadorai melembutkan hatinya lalu membuat keputusan tidak memanjangkan cerita.


Uncle (Angadorai) sangat baik dan budiman. Usianya lebih kurang sebaya ayah saya. Tidak dapat saya bayangkan macam mana kalau ayah sendiri berada dalam situasi itu.


“Memang terkejut dan tersentuh hati melihat dia berlari ke arah saya dalam keadaan hujan, merendahkan diri serta berkali-kali meminta maaf meskipun saya lebih muda darinya.


“Dari tempat kejadian hingga ke balai polis, saya rasa lebih 50 kali dia meminta maaf pada saya,” katanya.


Menurut Mizan, mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, untuk membuat laporan sebelum pegawai penyiasat (IO) menutup kes atas persetujuan kedua-dua belah pihak.


“Kami berdua mengaku salah dan bertoleransi sesama sendiri hingga membuatkan IO itu memutuskan kes ditutup tanpa mengeluarkan saman kepada sesiapa. Saya berlapang dada dengan keputusan itu dan membuat tuntutan insurans sendiri,” katanya.


Menceritakan kejadian itu Mizan berkata, terdahulu dia bersama isteri dan dua anak masing-masing berusia setahun dan dua tahun dalam perjalanan ke Johor Bahru, Johor menggunakan laluan alternatif melalui Senawang.


“Ketika di persimpangan kenderaan kami berada di laluan paling kanan manakala teksi berkenaan berada di sebelah kiri.


“Hendak dijadikan cerita, sebaik lampu isyarat bertukar hijau, saya meneruskan pemanduan, manakala teksi berkenaan mahu membelok ke kanan.


“Disebabkan itu berlaku kemalangan menyebabkan sebelah kiri MPV saya mengalami calar, lampu pecah dan pintu bahagian penumpang hadapan tidak boleh dibuka. Teksi berkenaan juga mengalami kerosakan,” katanya.


Biarpun terpaksa menanggung kerugian Mizan, menganggap ada hikmah di sebalik kejadian itu termasuk mendidiknya menjadi penyabar dan membalas kesilapan orang lain dengan kebaikan.


“Difahamkan, sebelum kejadian pemandu itu baru menghantar penumpang pertama untuk hari berkenaan.


“Melihat raut wajah pemandunya yang bimbang memikirkan cara mendapatkan wang untuk baiki teksi membuatkan saya tekad tidak mahu berkira. Teksi itu punca pencariannya.


“Harap kisah yang saya kongsi ini membuka mata dan menyedarkan masyarakat bahawa kita semua hidup dalam masyarakat majmuk sejak sekian lama.


“Tidak perlu lagi mencetuskan isu sensitif seperti sentimen perkauman,” katanya.


Setakat petang semalam, posting Mizan di Facebook meraih 2,800 likes dan 1,845 perkongsian serta lebih 25,000 retweet dengan kebanyakan netizen memberi komen positif.


Norlida Ishak Shop