Expired : 18.06.18

Hukum Guna Baby Wipes Untuk Bersihkan Najis Bayi, Ini Jawapan Mufti WP




“Alamak, nak cepat cepat ni guna baby wipes jelah cuci najis anak aku ni…”


Ini adalah antara situasi yang semua ibu bapa alami. Mungkin ada ketikanya terutama sekali ketika berada di luar negara, sumber bekalan air agak terhad dan sukar untuk dijumpai. Jadi, salah satu solusi untuk memudahkan mak ayah bersihkan najis anak adalah menggunakan baby wipes. Tapi, benar-benar suci atau tidak cara pembersihan tersebut dalam Islam?






BOLEH KE BERSIHKAN NAJIS ANAK GUNA BABY WIPE SAHAJA?



Soalan


Assalamualaikum Dato saya ingn bertanya, adakah cukup diangap bersih jika saya membersihkan najis anak saya sekadar mengunakan wipe baby sahaja. terima kasih










Jawapan


Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, kaum kerabat, para sahabat baginda, serta golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.






Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dah kebersihan. Bersuci juga merupakan sebahagian daripada iman sepertimana hadis daripada Abu Malik al-Asy’ari RA sabda Nabi SAW:


الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ


Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”


Riwayat Muslim (223)


Pembahagian Najis



Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassithoh (sederhana) dan Najis Mughallazoh (berat).


1.Najis Mughallazoh ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.


2.Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun


3.Najis Mutawassithoh merupakan najis selain daripada babi, anjing dan kencing bayi lelaki yang minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih dua tahun. Najis Mutawassithoh seperti air kencing manusia, najis haiwan dan darah
(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 1/40-41)


Kaedah Menyucikan Najis Bayi



Di dalam hal ini ulama menggariskan beberapa panduan untuk menghilangkan najis serta menyucikannya. Berkenaan najis bayi selain daripada najis Mukhaffafah (air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun) ianya dikategorikan sebagai najis Mutawassithoh.


Oleh itu, cara penyuciannya berlainan dengan di antara satu sama lain. Ini seperti yang dinyatakan Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf di dalam kitabnya:


Najis Mukhaffafah cara menyucikannya cukup hanya dengan merenjiskan air (air mesti melebihi kuantiti najis) ke atas najis kemudian menghilangkan ain dan sifatnya. Najis Mutawassithoh membersihkannya dengan melalukan air ke atasnya sehingga hilang sifatnya iaitu menghilangkan warna, bau dan rasa.
(Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 135)


Sekiranya kuantiti air sedikit maka ia hendaklah dilalukan ke atas najis. Ini seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam hasyiahnya:


“Disyarat untuk menyucikan najis hendaklah melalukan (meletakkan) air ke atas najis, dan bukanlah meletakkan najis ke atas air”. (Lihat: Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199)


Begitu juga yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:


“Air kencing bayi yang Mutawassithoh mestilah membasuh tempat yang terkena najis dengan menyiramkan air kepadanya”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/311)


“Mengikut pendapat Imam Syafii’ disyaratkan untuk mengalirkan air iaitu mengalirkan air pada tempat yang bernajis”. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/337)


Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf menyatakan:


Cara menghilangkannya (jisim najis) dengan mengalirkan air kepadanya” (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah, 135)


Syarat Air untuk Bersuci



Air yang diperlukan untuk menyucikan najis merupakan air yang suci dan boleh menyucikan. Dan ia merupakan air Mutlak, Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam kitabnya menyatakan:


“Air yang suci pada dirinya dan dapat menyucikan yang lain serta tidak makruh penggunaannya” (Lihat: Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/57)


Di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan takrif air mutlak adalah:


“Iaitu air yang kekal sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah SWT. Dan tidak terkeluar dari sifat air mutlak sekiranya ia berubah disebabkan lama terbiar, disebabkan tanah atau lumut kerana disebabkan lamanya bertakung”. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/31)


Selain itu, berkenaan dengan sifat air Musta’mal dan air Mutaghayyir (iaitu air mutlak yang berubah kerana faktor bercampur sesuatu seperti air mawar dan sabun) ia tidak dapat menyucikan najis. Ini seperti yang dinyatakan Syeikh Ibrahim al-Baijuri:


“Air Musta’mal dan Mutaghayyir merupakan air yang suci tetapi tidak dapat menyucikan” (Lihat: Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/61)


Habib Hasan bin Ahmad al-Kaf menyatakan:


“Air yang Suci dan tidak menyucikan iaitu air Musta’mal” (Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah,59)


Bersuci Menggunakan Selain Air



Sekiranya kekurangan air atau ketiadaan air mutlak, dibolehkan mengguna semua pepejal yang kesat seperti batu, tisu kering, daun dan seumpamanya. Di antara syarat-syarat penggunakan alat selain air yang boleh bersuci ialah:


Pertama, hendaklah benda tersebut sesuatu yang suci dan bukan najis. Jika sekiranya seseorang itu beristinjak dengan sesuatu yang najis maka hendaklah dia membersihkannya sekali lagi dengan air. Kedua, hendaklah benda tersebut kering dan kesat. Oleh itu, tidak sah benda yang bersifat licin dan basah.


Ketiga, hendaklah benda tersebut bukan sesuatu yang dihormati seperti makanan, tulang binatang dan lain-lain. (Lihat: Raudah al-Tolibin al-Nawawi, 1/68-69)


Antara bahan-bahan kesat dan kering yang boleh menggantikan air bagi istinjak ialah tisu tandas. Ini memandangkan tisu tandas itu mampu untuk menghilangkan najis dan membersihkan anggota badan. Walaubagaimanapun, jika sekiranya mampu untuk dia mendapatkan air bagi beristinjak, maka hendaklah dia melakukan demikian. Begitu jika sekiranya dia mampu untuk menghimpun kedua-duanya, iaitu dengan menghilangkan najis terlebih dahulu dengan benda kesat dan disudahi dengan membasuh dengan air, maka itu lebih afdhal. (Lihat: Kasyifat al-Saja, 266)


Selain itu, apabila melakukan penyucian, hendaklah keadaan najis yang keluar itu tidak menjadi kering, tidak mengalir keluar daripada kawasan punggung atau kepala zakar atau tempat kencing bagi perempuan. Begitu juga najis itu tidak terkena pada tempat lain ketika ia keluar. (Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 1/45-46)


WIPES HANYA ELAK KOTOR, BUKAN SUCIKAN



Berdasarkan kepada dalil dan pendapat fuqaha’ yang diberikan di atas, dapat disimpulkan bahawa syarat untuk menyucikan najis Mutawassithoh mestilah:


-Menggunakan air Mutlak


-Air itu mestilah mengalir di tempat yang bernajis


-Menghilangkan sifat-sifat najis iaitu bau, rasa dan warna


-Tidak menggunakan air Musta’mal dan air Mutaghaiir (berubah)


-Wipe baby merupakan tisu basah mengandungi air sabun atau pewangi yang bertujuan untuk menghilangkan kekotoran. Oleh itu, berpandukan kepada syarat yang di tetapkan syarak, ia hanya dapat menghilangkan kotoran najis, tetapi tidak menyucikan tempat yang terkena najis.



Namun begitu, dibolehkan untuk menggunakan wipe baby untuk menghilangkan kotoran, kemudian diwajibkan untuk membasuhnya semula dengan menggunakan air mutlak bagi menyucikan najis yang terdapat pada bayi tersebut.


Sebagai contoh sekiranya seseorang itu melakukan tawaf sambil mendukung bayi yang dibersihkan menggunakan wipe baby, maka tidak sah tawafnya kerana bayi masih tidak suci daripada najis dengan sempurna dan ia dikira sebagai menanggung najis. Oleh itu, sebaiknya menghilangkan ain najis dengan menggunakan wipe baby, kemudian membasuhnya dengan sedikit air mutlak yang mengalir bagi menghilangkan najis secara hukmi. Dan mengeringkannya dengan menggunakan tisu atau kain bersih.


Selain itu, sekiranya kekurangan air, bolehlah bersuci menggunakan tisu kering namun mesti memastikan beberapa perkara:


-Najis yang hendak dibersihkan itu tidak kering


-Najis tidak merebak ke anggota badan yang lain ketika ia keluar


-Dan sekiranya tidak memenuhi syarat-syarat di atas maka wajib ke atasnya bersuci menggunakan air mutlak.


Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan









Related Items:




Norlida Ishak Shop