Expired : 18.06.18

Ibu Safura kritikal, terpaksa guna mesin pernafasan

KEMBALI aktif di persada seni, Safura Yaacob berharap ibunya, Nariah Materudi, 75, kembali sihat seterusnya berpeluang menyaksikan persembahan istimewanya sempena Hari Ibu, pada 1 Mei nanti.

Katanya, kali terakhir ibunya menyaksikan persembahannya adalah kira-kira 12 tahun lalu.

“Kononnya, saya nak buat suprise untuk ibu. Tapi, tak sangka pula ibu jatuh sakit sebelum saya sempat memberitahunya.

“Jadi, saya harap impian itu akan tercapai. Saya pun dah lama tak membuat persembahan, jadi inilah peluang untuk saya tunjuk pada ibu.

“Lagipun, ibu adalah penyokong setia saya dan tak jemu memberi semangat. Ibulah lambang kekuatan saya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Sepetang Bersama Bonda Ratuku, kelmarin.

Mengulas lanjut, selebriti berusia 45 tahun ini berkata, kondisi ibunya kritikal dan kini sedang menjalani rawatan di Unit Penjagaan Kritikal (CCU) di Hospital Selayang, sejak lebih seminggu lalu.

“Ibu saya ada kencing manis sejak lima tahun lalu. Doktor juga sahkan dia mengalami jangkitan di paru-paru selain masalah paru-paru berair.

“Sebelum itu, dia mengalami batuk teruk sebelum dikejarkan ke hospital yang akhirnya ditidurkan kerana keadaan jantungnya yang sangat lemah.

“Kesihatan ibu memang semakin merudum sejak kematian bapa saya. Tapi, dia kuat semangat dan tak pernah menyusahkan anak-anak dia,” katanya.


Susulan itu, Safura berharap agar ibunya segera menunjukkan perkembangan positif.

“Doktor kata terpaksa tidurkan dia dalam tiga hari kerana pernafasannya sangat teruk.

“Tapi, doktor kata ibu akan bangun sekiranya dia kuat. Alhamdulillah bacaan ubat tidur pun semakin berkurangan.

“Cuma, dia masih lagi menggunakan bantuan mesin pernafasan kerana jantungnya sangat lemah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelantun lagu Sedalam Mana Cintamu ini bakal bergandingan dengan Liza Hanim untuk menghiburkan peminat manakala Fauziah Ahmad Daud bertindak sebagai pengacara bagi meraikan ibu-ibu sempena sambutan Hari Ibu di Hotel Premiera Kuala Lumpur, pada 1 Mei depan.

Tiket bagi menyaksikan persembahan mula dibuka pada harga jualan setinggi RM10,000 bagi Pakej Korporat; RM5,000 (Pakej Bonda); RM150 (Individu) dan serendah RM80 untuk kanak-kanak.


Norlida Ishak Shop