Expired : 18.06.18

Ibu saudara dapat hak jagaan dua anak mangsa nahas Duke


KUALA LUMPUR, 4 Ramadan 1440H, Khamis – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan hadanah (hak penjagaan kekal) terhadap dua beradik yatim piatu, Nur Firuza Amira dan Nur Firuza Aqila Fairuz Nizam yang kematian ibu bapa dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), empat tahun lalu, diberikan kepada ibu saudara, Datin Yusnidah Hussain.


Hakim Syarie Zaim Md Yudin membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi bagi pihak Yusnidah, 51, selaku plaintif dan defendan iaitu Wirda Syamsuddin, 56, serta keterangan dari dua beradik itu sendiri.


Hakim tersebut turut memutuskan hak lawatan diberi kepada nenek mereka, Wirda, yang tinggal di Teluk Intan, Perak, iaitu setiap cuti sekolah dibahagikan kepada dua iaitu separuh pertama kepada pihak plaintif manakala bakinya diberikan kepada defendan.


“Cuti perayaan pula adalah mengikut giliran setiap tahun secara berselang seli dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini (2019) bersama plaintif manakala tahun depan bersama defendan dan akan berselang seli pada tahun berikutnya,” katanya.


Dalam penghakimannya, Zaim berkata mahkamah mengambil kira kemahuan kanak-kanak itu dan bersetuju bahawa kebajikan kanak-kanak perlu diberi keutamaan bagi memastikan mereka membesar dalam keadaan sempurna dan penuh kasih sayang.


“Salah seorang anak ini telah sampai umur mumayyiz dan boleh menentukan dengan siapa dia hendak tinggal, dalam kes ini anak yang dituntut telah sampai umur mumayyiz, iaitu Nur Firuza Amira berumur 11 tahun.


“Mahkamah telah mengambil keterangan anak ini dan dia menyatakan suka dan selesa dengan mama, iaitu panggilan kepada plaintif (Yusnidah) dan memberi alasan rumah sekarang (rumah Yusnidah di Gombak) berdekatan dengan kubur arwah ibu bapanya dan memudahkan untuk dia pergi menziarah,” kata hakim itu ketika membacakan keputusan hadanah itu.


Hakim berkata, Nur Firuza Aqila yang berumur lapan tahun juga memilih untuk tinggal dengan plaintif kerana berasa bersesuaian setelah menetap dengan ibu saudaranya itu sejak kecil.


Sehubungan itu, mahkamah berpendapat adalah tidak wajar untuk memisahkan kedua beradik itu dan mendapati plaintif telah memberi kasih sayang sebaiknya kepada mereka.


Selain itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang telah memberi keterangan sebelum ini, juga merumuskan melihat psikologi kanak-kanak itu gembira dan berpendapat perkembangan kanak-kanak itu akan lebih baik jika mereka tinggal dengan orang yang mereka suka.


Ketika ditemui selepas prosiding, Yusnidah dan kedua beradik itu dilihat menangis dan memeluk antara satu sama lain dan berulang kali menzahirkan kesyukuran atas keputusan mahkamah.


“Syukur Alhamdulillah.. keputusan mahkamah hari ni, sempena bulan baik memihak kepada kak ngah (panggilan mesranya) untuk jaga anak buah kak ngah yang dianggap macam anak sendiri. Selama empat tahun menunggu,” katanya.


Yusnidah juga berkata, dia berjanji akan memberi yang terbaik kepada dua beradik itu dan tidak akan memisahkan silaturrahim dengan neneknya.


Dalam prosiding hari ini, Yusnidah diwakili peguam syarie, Mahyuddin Md Zahari, manakala Wirda diwakili peguam syarie, Yusfa Hanis Yusoff.


Pada 11 Ogos 2015, Yusnidah diberi hak penjagaan sementara ke atas dua kanak-kanak berkenaan.


Yusnidah memfailkan permohonan hadanah pada 2 Jun 2015 mengikut Seksyen 81 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan menamakan Wirda sebagai defendan namun pada 22 Mac 2018, Wirda, telah memfailkan notis permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah kerana tidak bersetuju dengan keputusan hakim untuk memanggil dua kanak-kanak tersebut memberi keterangan.


Permohonan itu dibuat selepas pihak defendan bimbang wujudnya isu berat sebelah sekiranya kanak-kanak itu memberi keterangan memandangkan mereka kini dalam jagaan sementara ibu saudara mereka.


Dalam kejadian 2 Mei 2015, Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, enam bulan, maut dalam nahas jalan raya semasa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Muda, Batu Caves, dekat sini. – Bernama


The post Ibu saudara dapat hak jagaan dua anak mangsa nahas Duke appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop