Expired : 18.06.18

ICERD: Rasiskah Melayu pertahan Perkara 153 Perlembagaan?


APAKAH ICERD? ICERD adalah ringkasan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayunya, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum.


Konvensyen itu telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Hingga ke hari ini, Malaysia tidak mengesahkannya. Malaysia adalah satu daripada 15 buah negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.


Tetapi, dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU 14, kerajaan PH hendak mengesahkannya sebagai memenuhi janji pilihanrayanya, khususnya kepada orang bukan Melayu.


Konvensyen itu, antara lain, memperuntukkan:


Perkara 1 Fasal 1 adalah takrifan “diskriminasi kaum” yang bermaksud “sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan,….” Untuk mengetahui peruntukan asal dalam Bahasa Inggeris dan terjemahan saya, sila layari laman-laman web saya.)


Ringkasnya memberi keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum adalah diskriminasi.


Fasal 2. Ringkasnya, diskriminasi antara warganegara dan bukan warganegara dibenarkan.


Fasal 4. Ringkasnya, diskriminasi seperti yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dibenarkan jika ia memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam fasal ini. Tanpa menghujahkan alasan-alasan lain, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana ia bukan bagi suatu tempoh yang terhad. Ia tidak menyebut bahawa ia tidak akan “diteruskan setelah tujuan yang ia (langkah itu) diambil telah dicapai”. Selain dari itu, jika konvensyen itu disahkan, pihak yang tidak mahu adanya Perkara 153 akan menghujahkan bahawa tujuannya telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan.


Perkara 2 Fasal 1. Ringkasnya, kerajaan hendaklah, antara lain, berusaha untuk menghapuskan diskriminasi kaum dengan segera termasuk meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan diskriminasi kaum. Dalam kata-kata lain, Perkara 153 perlu dimansuhkan dan segala dasar yang yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan.


Saya tiada masalah dengan Perkara 3 kerana kita tidak pernah mengamalkan apartheid.


Perkara 5 panjang. Sebagai misalan, ia menghendaki Negara Pihak (negara-negara yang mengesahkan Konvensyen ini) menghapuskan diskriminasi dan menjamin hak kepada semua orang untuk mengambil bahagian dalam politik seperti bertanding dalam pilihanraya; hak untuk kebebasan bergerak dan tinggal dalam sempadan negara; hak untuk kebebasan keluar negara dan kembali semula; hak untuk kebebasan memiliki harta secara bersendirian atau bersama-sama orang lain; hak untuk mewarisi harta; hak untuk kebebasan berhimpun dan berpersatuan dan lain-lain. Semuanya sudah pun diperuntukkan dalam Perlembagaan kita. Kita tidak ada masalah dengannya.


Dimanakah ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan? Pertama, takrifan “diskriminasi kaum”. Ia jelas bercanggah dengan:


1. Perkara 8(4)(f) yang menghadkan Regimen Askar Melayu kepada orang Melayu;


2. Perkara 89 mengenai Tanah Simpanan (Rizab) Melayu;


3. Perkara 153 mengenai perizaban kuota berkenaan dengan jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan permit atau lesen dan sebagainya, bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.


Apakah akibatnya jika Malaysia mengesahkan konvensyen ini? Dengan pengesahan kita, dengan rasminya, menerima kandungan konvensyen itu.


Maka semua undang-undang kita, termasuk Perlembagaan, akan terpaksa dipinda atau dimansuhkan. Segala peruntukan yang memberi keistmewaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak hendaklah dimansuhkan atau dipinda.


Pelantikan ke jawatan dalam perkhidmatan awam, pemberian biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan, dan pemberian permit atau lesen dan sebagainya, tidak boleh mengikut quota orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak lagi.


PNB yang mengeluarkan Amanah Saham Bumiputra, Amanah Saham Nasonal dan lain khusus untuk Bumiputera akan ditutup atau semua produknya dibuka kepada orang bukan Melayu dan bukan anak negeri Sabah dan Sarawak.


UiTM, Maktab Rendak Sains MARA, Maktab Kemahiran MARA dan yang serupa dengannya akan ditutup atau dibuka kepada semua.


Tanah rizab Melayu akan dihapuskan.


Rejimen Askar Melayu akan dibubar.


Biasanya, saya tidak mahu melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam hal politik. Tetapi, mempertahankan tanggungjawab dan kuasa Raja-Raja Melayu bukanlah isu politik. Ia isu keperlembagaan.


Perkara 153(1) memperuntukkan:


“Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.”


Perhatikan kata-kata “Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu…”


Fasal (2), antara lain, menghendaki Yang di-Pertuan Agong menjalankan fungsinya mengikut apa-apa cara yang perlu bagi meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan dibuat perizaban bagi mereka mengikut kadar yang difikirkan munasabah oleh baginda mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam, biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan dan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan juga mengenai permit dan lesen.


Fasal (3) mengatakan bagi memastikan perizaban yang disebut dalam fasal (2) itu dibuat, Yang di-Pertuan Agong boleh memberi apa-apa arahan am yang perlu kepada mana-mana Suruhanjaya atau pihak berkuasa yang dipertanggungkan mengenai pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu. Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


Fasal (6) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberi arahan kepada pihakberkuasa berkenaan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak mengikut kadar yang difikirkan munasabah oleh baginda mengenai permit atau lesen yang diperlukan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang diperuntukkan dalam undang-undang Persekutuan yang sedia ada. Pihak berkuasa itu dikehendaki mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


Mengikut Fasal (8A), Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa untuk memberi apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa berkenaan untuk memastikan perizaban kadar yang difikirkan munasabah oleh baginda mengenai tempat-tempat di Universiti, Kolej atau institusi pendidikan untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Pihak berkuasa berkenaan hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


Perlu diambil perhatian bahawa peruntukan yang sama dengan Perkara 153 itu terdapat juga dalam perlembagaan-perlembagaan negeri-negeri, termasuk Sabah dan Sarawak yang menggantikan perkataan “Melayu” dengan “anak negeri” (“natives”).


(Tetapi, apa yang sangat mengejutkan saya ialah peruntukan yang sama tidak terdapat dalam Perlembagaan negeri Pulau Pinang. (Jika ada tolong bagi tahu). Hanya satu alasan yang saya boleh berikan. Semua Ketua Menteri Pulau Pinang semenjak Merdeka adalah daripada parti MCA, Gerakan dan DAP.


Walaupun, diluar mereka musuh politik, tetapi mereka sependapat mengenai hak keistimewaan orang Melayu. Maka, walaupun Perlembagaan Persekutuan membolehkan peruntukan seperti Parkara 153 dimasukkan ke dalam Perlembagaan negeri-negeri, mereka tidak melakukannya. Itu satu pengajaran kepada orang Melayu tetapi orang Melayu tidak akan mempelajarinya. Sebaliknya, orang Melayulah yang akan menghapuskan hak keistimewaan mereka sendiri.)


Biar apa pun, bagi negeri-negeri lain, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri dipertanggungjawabkan untuk melindungi hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan memastikan dibuat perizaban mengenai perkara-perkara yang disebut itu untuk mereka.


Maka, jika ICERD disahkaan, bukan sahaja hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak akan hapus, hak Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua-Dipertua Negeri mempertahankannya dan memastikan ia diilaksanakan, juga akan dihapuskan. Itulah kesannya.


Maka, dalam isu ini, Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri juga perlu dinasihatkan dengan betul untuk membolehkan mereka mengambil pendirian yang betul dan tindakan yang sewajarnya, demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan negeri-negeri, hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan hak dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, melindunginya.


Apa yang orang bukan Melayu beri sebagai ganti? Apa yang tercatat dalam Perlembagaan sebagai hak mereka kekal sebagai hak mereka. Apa yang tercatat sebagai hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, dikongsi. Dalam kata-kata lain, hak aku hak aku, hak kamu hak kita.


Adakah syarikat-syarikat mereka akan dibuka kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak? Saya katakan tidak. Jika dibuka pun, mereka akan meletakkan syarat mestilah boleh menguasai Bahasa Mandarin dan tidak boleh memakai hijab! Itu dengan sendirinya akan menghalang orang Melayu dan anak-ank negeri Sabah dan Sarawak daripada diterima berkhidmat dalam syarikat-syarikat mereka.


Selain itu, mereka akan menggunakan Bahasa Cina sesama mereka. Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak akan terpinggir juga. Gaji lebih rendah. Peluang kenaikan pangkat tidak ada. Cubalah membuka satu perniagaan yang difikirkan akan bersaing dengan perniagaan mereka dan alamilah tindakbalas seluruh masyarakat perniagaan mereka. Itu bukan diskriminasikah?


Memandangkan kesannya yang terlalu besar itulah maka selama 50 tahun kerajaan BN tidak mengesahkan konvensyen itu. Dalam hal ini, kita patut puji kerajaan BN dan peguam-peguam negara yang menasihatkan kerajaan BN dalam tempoh 50 tahun itu.


Perlu diambil ingatan, tempoh itu termasuk 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kita juga patut puji beliau bagi tempoh itu. Bagaimana sekarang?


Sekarang, dengan Waytha Moorthy, Pengerusi HINDRAF sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial; Tommy Thomas sebagai Peguam Negara; DAP sebagai parti dominan dalam PH walau pun PH menafikannya; pemimpin-pemimpin Amanah seperti masih khayal dengan kemenangan dan jawatan menteri; pemimpin-pemimpin PKR sibuk berebut jawatan dalan parti; Tun Dr Mahathir cuba menyesuaikan diri dengan fahaman liberal dan sosialis DAP; kebencian terhadap Dato’ Seri Najib sampai ke tahap apa yang dibuat oleh kerajaan BN termasuk 22 tahun yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir sendiri, semuanya salah; beberapa orang menteri kerajaan PH yang tidak pernah merasakan kuasa dan kedudukan cuba menjadi juara masyarakat mereka sendiri; iri hati dan dendam terhadap orang Melayu dan janji pilihan raya PH, dengan itu semua, maka kerajaan PH bersedia untuk mengesahkan konvensyen itu. Para pemimpin Melayu dalam PH, sama ada dari Amanah, PKR atau pun Bersatu, terus membisu.


Saya tiada masalah jika kita boleh mengesahkan konvensyen itu dengan pengecualian bahawa kita menerima konvensyen itu setakat yang ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan kita. Bolehkah Peguam Negara Tommy Thomas dan Waytha Moorthy memberi jaminan ia boleh dilakukan?


Saya katakan bahawa pengecualian (reservation) seperti itu akan dibantah oleh negara-negara lain yang mengesahkannya atas alasan ia bercanggah dengan tujuan asas konvensyen itu, iaitu menghapuskan diskriminasi kaum.


Lagi pula, bersetujukah Waytha Moorthy dan semua pihak yang memperjuangkan pengesahan konvensyen itu, dengan pengecualian seperti itu? Jika Perkara 153 dan semua diskriminasi yang disebut itu akan dikekalkan (jika boleh, saya kata tidak boleh), untuk apa konvesyen itu hendak disahkan sedangkan itulah tujuan ia hendak disahkan?


Jika sekadar untuk mengadakan kesalahan-kesalahan bagi mengelak ketegangan antara kaum, sekarang pun kesalahan-kesalahan itu telah ada dalam Akta Hasutan 1948. Jika tidak cukup tambahkan sahaja. Peliknya Akta Hasutan hendak dimansuhkan. Konvensyen itu hendak disahkan.


Saya katakan, tujuan utama konvensyen itu hendak disahkah adalah kerana mereka mahukan keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak itu, dihapuskan. Mereka tidak berkata dengan terus terang bahawa itulah tujuan mereka, untuk mengelak bantahan. Mereka mengatakan bahawa pengesahan itu tidak akan melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu adalah satu pembohongan.


Alasan yang mereka beri untuk memansuhkan Perkara 153 (walaupun mereka tidak berkata dengan terus terang) ialah Perkara 153 itulah yang menghalang perpaduan. Dalam kata-kata lain, mansuhkan Perkara 153, perpaduan akan tercapai.


Hapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan berikan mereka hak yang sama, perpaduan akan wujud! Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Ini orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, perlu sedar.


Sebenarnya, pelantikan Waytha Moorthy sebagai Menteri (Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial) adalah satu kesilapan. Beliau adalah generasi pertama kelahiran Malaysia, lahir kira-kira tiga tahun selepas penubuhan Malaysia.


Beliau, malah, besar kemungkinan, ibu bapanya juga, tidak melalui sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini dan menghayati mengapa peruntukan mengenai Tanah Rizab Malayu, Regimen Askar Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


Beliau marah kerana tidak diterima untuk belajar undang-undang di universiti awam Malaysia. Maka, setelah menjadi seorang peguam, beliau menubuh HINDRAF. Imejnya sebagai Pengerusi HINDRAF bukanlah sesuai untuk membawa perpaduan. HINDRAF melambangkan pemberontakan satu kaum yang ditindas oleh kaum majoriti.


Kehadirannya untuk mengangkat sumpah sebagai seorang Ahli Dewan Negara dengan ditemani oleh seorang “sahabat karibnya” dengan rupa yang menyebabkannya, patut atau tidak, dipanggil “hantu” sudah cukup untuk merenggang masyarakat majoriti Melayu/Islam daripadanya. Tanpa masyarakat majoriri, perpaduan tidak mungkin tercapai.


Maka, tidak hairanlah jika, sebagai seorang Menteri, beliau terus melaksanakan agenda HINDRAF. Saya katakan, beliau akan menyebabkan perpecahan, malah permusuhan antara kaum, bukan menyatupadukan mereka.


Kepada anak negeri Sabah dan Sarawak saya ingatkan, bahawa untung rugi mereka adalah bersama orang Melayu dalam hal ini. Jangan kerana benci kepada orang Melayu atas isu agama hingga terlupa isu yang lebih besar.


Kepada pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR, Bersatu dan Amanah saya minta, nyatakan pendirian masing-masing. Orang Melayu ingin tahu apa pendirian mereka.


Kepada kerajaan PH saya ingin bertanya, adakah ia benar-benar hendak menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak? Jika, ya, cakap terus terang supaya semua orang tahu. Jangan berselindung di sebalik konvensyen itu.


Kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak saya ingatkan, kebanyakan kamu (termasuk saya) hanya baru keluar dari kampung atau pedalaman satu atau dua generasi. Jangan lupa daratan. Tanya diri sendiri, tanpa Perkara 153, Dasar Ekonomi Baru, MARA, FELDA, PNB, UiTM, Maktab Rendah Sains MARA, Maktab Kemahiran MARA, Asrama Desa dan lain-lain, di mana kamu sekarang? Jangan bodoh sombong nanti jadi Red Indians di negera sendiri.


Kepada kumpulan yang memperjuangkan pengesahan ICERD, saya katakan janganlah menggambarkan Malaysia sebagai sebuah “negara pariah” yang enggan mengesahkan konvensyen-konvensyen antarabangsa. Sebagai misalan, Amerika Syarikat belum mengesahkan Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (1979) dan Konensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (1989). Malaysia telah pun mengesahkannya.


Saya telah katakan apa yang saya hendak katakan. Terserahlah kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak memikirkannya dan mengambil pendirian masing-masing dan secara berkumpulan.


Ingat, orang Melayu seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Dato’ Majharaja Lela, To’ Janggut, Dol Said, Rosli Dobi, Antanum, Mat Salleh dan lain-lain, dalam serba kekurangan, bangun menentang penjajahan British; ingat, apabila Jepun menyerang Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura dan askar-askar British lari bertempiaran menyelamatkan diri, askar-askar Melayulah yang diketuai oleh, antara lain, Leftenan Adnan terus berjuang hingga terkorban; ingat, dalam tahun 1946, walau pun dalam keadaan kemiskinan, tanpa pelajaran dan jawatan tinggi, tanpa kenderaan walaupun basikal, orang Melayu bangun menentang Malayan Union sehingga ia ditarik balik; ingat, selepas itu, anak muda kita mengangkat senjata menentang pemberontakan kominis; ingat, itu diikuti dengan perjuangan menuntut kemerdekaan; ingat, demi untuk mencapai kemerdekaan, orang Melayu sanggup bertolak ansur hingga tinggallah sedikit hak mereka yang dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan.


Adakah, hari ini, setelah menikmati hasil kemerdekaan selama 60 tahun, kita, dengan rela, akan menyerahkan segala-galanya?


Sepanjang sejarah, manusia berperang untuk mempertahankan hak mereka, malah untuk merampas hak orang lain. Adakah kita, dengan rela, akan menyerahkan hak kita?


Kita bukan hendak mengambil hak orang lain. Kita hanya mempertahankan hak kita seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. Pelampaukah kita? Rasiskah kita?


Tun Abdul Hamid Mohamad

Bekas Ketua Hakim Negara


Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Ismaweb.net.


The post ICERD: Rasiskah Melayu pertahan Perkara 153 Perlembagaan? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop