Expired : 18.06.18

Idea hijab pakai buang selepas keluar OT

Manchester: Hasil sambutan positif ke atas hijab pakai buang di United Kingdom, Dr Farah Shaheera Roslan sudah menerima lebih enam cadangan dari institusi berprestij tempatan untuk bekerjasama dengannya bagi menjayakan projek berkenaan.


Memetik Hospital Oxford University sebagai antara enam yang mengemukakan cadangan, doktor muda berusia 26 tahun dari Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, projek itu masih di peringkat awal, dari segi menangani jurang dasar dan sistem.


“Saya bertugas bergilir-gilir di beberapa hospital di Wilayah Timur Midland, dan menyedari dasar berbeza ketika di dewan bedah (OT), yang secara amnya, prosedur standard adalah memakai pakaian bersih bagi mengelak jangkitan kuman.


"Saya kadang-kadang membawa beberapa selendang bersih dari rumah, namun anda tidak dapat menjangkakan bila peluang tiba untuk memasuki OT. Namun, begitu sesetengah hospital tidak membenarkan penggunaannya (selendang) bagi menjaga aspek kebersihan," katanya ketika dihubungi Bernama.


Sebagai doktor pelatih tahun kedua (Tahun asasi ke-2), Farah berkata, apabila keadaan itu berlaku, ia adalah kehilangan peluang pembelajaran dalam bidang yang paling diminatinya - pembedahan.


Oleh itu, beliau bertekad mencari jalan penyelesaian daripada semata-mata menyalahkan sistem dan dasar sedia ada.


"Idea ini muncul ketika saya dikeluarkan dari OT. Sukar untuk mengimbangi antara tuntuan agama dan mematuhi keperluan dan peraturan hospital dan prosedur OT,” kata Farah yang berhasrat menjadi pakar bedah.


Beliau menjelaskan bahawa walaupun tidak ada hijab khusus untuk doktor Islam di OT, kakitangan hospital sering membantunya mencari bahan yang sesuai untuk menutup rambut dan leher, mengikut tuntutan Islam.


Dalam usahanya mencari penyelesaian kekal, dan disokong sepenuhnya oleh pengarah program itu, Farah mula menghantar e-mel dan berhubung dengan syarikat pembekal perubatan di Malaysia.


Namun, kos penghantaran membatasi usahanya.


Farah tidak berputus asa, sebaliknya memberi tumpuan kepada syarikat di UK


"Saya mula berhubung dengan kira-kira lima syarikat tempatan, dan sebuah syarikat membalas dan mula menghantar bahan-bahan tudung ke rumah. Saya memilih bahan yang legap, mudah bernafas, boleh diguna semula dan mudah dipakai," katanya.


Inisiatif ini telah mendapat sambutan menggalakkan di UK dan Malaysia, katanya.


"Tidak, ini bukan untuk tujuan untuk membuat keuntungan walaupun saya menerima komen bahawa saya boleh membuat keuntungan," katanya, sambil menyatakan bahawa beliau mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk melakukan penyelidikan untuk hijab berkenaan.


Farah menerima anugerah dan sijil bagi Doktor Tahun Asas (2019) dari Nottingham University Hospital dan menyempurnakan Peperiksaan Keahlian Surgical Royal Colleges Great Britain dan Ireland, yang diikutinya ketika menjadi doktor pelatih.


Norlida Ishak Shop