Expired : 18.06.18

Idlib berdepan krisis terburuk


NEW YORK, 13 Ramadan 1440H, Sabtu – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kemanusiaan bakal berterusan di Idlib, wilayah di barat laut Syria, tatkala kuasa Barat mencabar rejim Syria dan sekutunya Russia memberi jaminan menghentikan serangan terhadap hospital dan sekolah.


Bercakap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) hari ini, penyelaras hal ehwal kemanusiaan PBB, Mark Lowcock berkata, terdapat keprihatinan berhubung peningkatan serangan ke atas Idlib sejak beberapa bulan lalu.


“September tahun lalu, Setiausaha Agung PBB menekankan bahawa adalah sangat penting untuk mengelak daripada peperangan berskala besar di Idlib, dan beliau memberi amaran bahawa mimpi buruk kemanusiaan tidak seperti yang berlaku sebagaimana di Syria.


“Apabila saya memberi taklimat pada 18 September lalu, saya berkata bahawa serangan ketenteraan berskala besar akan memberi kesan terburuk kepada kemanusiaan pada abad ke-21. Di sebalik amaran itu, kebimbangan terburuk kita sekarang semakin hampir berlaku,” katanya.


PBB memberi amaran bahawa tiga juga orang awam berdepan risiko, tatkala tentera Presiden Syria, Bashar al-Assad yang disokong Russia, melancarkan serangan besar-besaran.


UNSC mengadakan sesi mesyuarat tergempar bagi membincangkan peningkatan serangan di Idlib yang memberi gambaran bahawa bencana kemanusiaan bakal berlaku di wilayah itu.


Keganasan itu menghancurkan gencatan senjata yang dirundingkan oleh Russia dan Turki, sejak September lalu. Russia dengan tegas menyokong rejim Bashar dalam perang saudara lapan tahun, sementara Turki pula menyokong kumpulan pemberontak.


Lebih 180,000 penduduk hilang tempat tinggal dalam tempoh tiga minggu keganasan ke atas wilayah itu, kata Lowcock dan sehingga 160 orang telah terbunuh.


Sekurang-kurangnya 18 hospital dan klinik musnah sama sekali atau mengalami kerosakan akibat serangan udara dan pengeboman sejak beberapa minggu lalu, katanya kepada UNSC.


Beliau berkata, perkhidmatan di 40 pusat kesihatan digantung, sesetengahnya bimbang menjadi sasaran serangan, sementara 17 sekolah rosak atau musnah, dan banyak yang telah ditutup.


Menggesa supaya serangan itu dihentikan, Britain dan Amerika Syarikat (AS) mendesak Russia serta Syria memberi jaminan kepada UNSC bahawa keadaan itu tidak akan berterusan.


“Russia dan Syria adalah negara yang hanya terbang di wilayah itu. Saya rasa kita memerlukan jawapan hari ini. Saya menggesa Russia dan Syria memberi jaminan bahawa serangan itu akan dihentikan,” kata Duta Britain, Karen Pierce.


Sementara itu, 70 kumpulan bantuan mendesak serangan dihentikan di Idlib sambil menegaskan keadaan kini sudah tiba kepada titik krisis.


Kumpulan itu berkata, keganasan di wilayah berkenaan memaksa sekurang-kurangnya 16 pertubuhan kemanusiaan menggantung operasi mereka, sama ada pekerja tidak sanggup berdepan risiko atau kemudahan mereka diserang.


Perang saudara Syria yang masuk tahun ke sembilan, menyebabkan lebih 370,000 terbunuh dan jutaan lagi hilang tempat tinggal. – Agensi


The post Idlib berdepan krisis terburuk appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop