Expired : 18.06.18

Ijazah palsu: Osman akan beri kenyataan


BANGI, 5 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memberi jaminan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan memiliki kelayakan akademik palsu.

Bagaimanapun, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas itu tidak menyatakan masa dan di mana kenyataan beliau itu akan dibuat.

“Saya akan buat kenyataan,” katanya ringkas seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, netizen mempertikaikan kelayakan Osman yang mendakwa mempunyai ijazah dan diploma Perakaunan daripada UPM.

Hasil pemeriksaan mereka mendapati UPM hanya mula menawarkan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan pada tahun 1985, manakala Diploma Perakaunan tidak ditawarkan di universiti itu.

Butiran yang disiarkan di laman Facebook milik Osman menyatakan, beliau mempunyai Sijil Perakaunan dari Metro Manila College, Filipina; Diploma dan Ijazah Perakaunan dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Namun tidak dinyatakan semua sijil itu diperoleh bila.

Selain Osman, kelayakan akademik Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya sebagai pemegang ijazah sarjana muda Pengurusan Perniagaan yang diperoleh daripada Universiti Cambridge, melalui program pengajian jarak jauh juga menjadi pertikaian banyak pihak.

Status akademik Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjadi persoalan apabila satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan bahawa Universiti Cambridge sebenarnya tidak menawarkan program pengajian jarak jauh untuk kursus perniagaan.


The post Ijazah palsu: Osman akan beri kenyataan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop