Expired : 18.06.18

Imej Lohong Hitam Supermasif yang pertama berjaya dirakam

Imej lohong hitam supermasif di Messier 87 yang diperolehi daripada kerjasama kumpulan Event Horizon Telescope. Gambar ihsan daripada Event Horizon Telescope Collaboration

Inilah imej pertama lohong hitam supermasif yang diumumkan oleh kumpulan Event Horizon Telescope (EHT) pada 10 April 2019. Selama ini, ilustrasi dan imej lohong hitam adalah andaian berdasarkan teori–teori Kerelatifan Einstein. Contoh imej yang paling hampir adalah seperti di filem “Interstellar”.


Menurut Dr. Nur Adlyka Ainul Annuar, pensyarah astrofizik Fakulti Sains & Teknologi di UKM, “Pengumuman ini memberikan imej pertama lohong hitam, yang menunjukkan ufuk peristiwa objek tersebut.” Jelas beliau, kajian Ini adalah penting kerana, “Hasil kajian ini akan menambahkan bukti yang menyokong kewujudan lohong hitam dan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang struktur lohong hitam.


Lohong hitam supermasif yang berada di tengah galaksi Messier 87 (M87) di gugusan galaksi Virgo dianggar mempunyai jisim sebanyak 6.5 billion jisim Matahari. Jarak galaksi M87 ini dianggar sejauh 55 juta tahun cahaya. Ini bermakna, imej yang dilihat merupakan imej dari kejadian yang telah berlaku 55 juta tahun yang lalu.


Imej telah diambil dalam 5,6, 10 dan 11 April 2017, menggunakan lapan teleskop radio yang berada di enam lokasi, iaitu Arizona, Chile, Hawaii, Kutub Selatan dan Sepanyol. Pengambilan data secara serentak melalui sususan lapan teleskop ini menjadikan saiz teleskop maya seakan-akan sebesar saiz Bumi.


Kajian ini membuka lembaran baru dalam bidang pengimejan lohong hitam, dan melalui teknik-teknik yang telah dipelajari dijangka lebih banyak pemerhatian dan imej lohong hitam lain dapat diperolehi sebagaimana diterangkan oleh Dr. Nur Adlyka, “Pengukuran jisim lohong hitam yang tepat amat penting kerana lebih besar jisim lohong hitam tersebut, maka lebih besar impaknya terhadap galaksi dan alam semesta,” tambah beliau, “Hasil kajian kumpulan ini akan memberi satu kaedah baru untuk mengukur jisim lohong hitam dengan lebih tepat berbanding kaedah-kaedah terdahulu.



Sumber-https://eventhorizontelescope.org/


49total visits,49visits today


Norlida Ishak Shop