Expired : 18.06.18

Import UKM Berminat Sertai Harimau Malaya Sudah Berkahwin Dengan Orang Malaysia


KUALA LUMPUR: Mungkin kelibatnya tidak sehebat Mohamadou Sumareh kerana sekadar beraksi di saingan Liga Perdana, namun sentuhan berbisa penyerang UKM FC, Michael Chukwubunna tetap berbahaya dan mampu menjadi aset buat skuad Harimau Malaya.


Dia yang muncul penjaring terbanyak Piala Cabaran dengan 13 gol musim lalu turut berhajat untuk mengikut jejak Sumareh sebagai pemain naturalisasi asing kedua buat Malaysia.


Jelas pemain kelahiran Nigeria itu, dia sudah lama beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sejak 2012 dan turut mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan yang berasal dari Sarawak.


Justeru, syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada setiap pemain naturalisasi yang tiada pertalian darah iaitu perlu menetap sekurang-kurangnya lima tahun sebelum dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan sebenarnya lebih daripada mencukupi buatnya bergelar pemain negara.


“Kalau ada peluang memang saya mahu bermain untuk Malaysia seperti Sumareh. Saya layak kerana sudah lama bermain dalam Liga M dan saya cukup kenal dengan suasana dan budaya negara ini.


“Perasaan main untuk negara amat berbeza kerana ia penghormatan terbesar buat seseorang pemain untuk membawa cabaran negara. Begitu juga saya, sudah tentu saya berbangga jika dipilih dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk harumkan nama Malaysia,” katanya.


Sebelum ini, Sumareh yang berasal dari Gambia muncul pemain naturalisasi pertama menyarung jersi pasukan kebangsaan.


Pemain berusia 26 tahun yang beraksi bersama Pahang itu sudah mendapat taraf kerakyatan Malaysia sejak April tahun lalu dan memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga M di mana larian pantas serta gelecekannya menjadi senjata utama.


Rentetan itu, beberapa tonggak import mula meluahkan hasrat pemain naturalisasi dan terbaharu tonggak tengah PKNS FC, Romel Morales yang mengutarakan minat beraksi bersama pasukan kebangsaan.


Post Views: 87


Norlida Ishak Shop