Expired : 18.06.18

Individu Islam bantah larangan merokok boleh kena tindakan


BANGI, 27 Rabiulakhir 1440H, Jumaat – Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap tujuh individu yang memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai larangan merokok.


Ini kerana, Seksyen 9 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang bertindak, menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan majlis atau mufti, yang dinyatakan atau diberikan melalui fatwa, adalah melakukan suatu kesalahan.


Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.


Sebelum ini, tujuh individu memfailkan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, membantah larangan merokok yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan.


Mereka menyatakan asas bagi permohonan itu antaranya ialah larangan berkenaan bertentangan dengan Perlembagaan Negara kerana merokok bukan jenayah, dan mempunyai hak sama rata dengan golongan yang tidak merokok.


Aktivis Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Aidil Khalid dalam satu kenyataan hari ini, menyifatkan tindakan itu sesuatu yang menyedihkan.


Katanya, amat menyedihkan apabila melihat semua yang memfailkan cabaran ke atas keputusan kerajaan melarang merokok di premis makanan itu, terdiri daripada orang Melayu, bahkan mereka berani mendakwa kononnya merokok bukan jenayah.


Beliau berkata, umat Islam di Malaysia bukan sahaja terikat kepada undang-undang jenayah umum, tetapi juga kepada jenayah syariah yang menyentuh tata etika keperibadian seseorang.


“Sejak tahun 1995 lagi, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam telah memutuskan bahawa tabiat merokok itu adalah haram. Mufti Wilayah Persekutuan turut mengulang tegas pandangan yang sama tahun lalu.


“Demikian juga Selangor dan Pulau Pinang, telah mewartakan fatwa haramnya merokok, masing-masingnya pada tahun 1995 dan 2004. Justeru, macam mana pula pro-tem Pertahankan Hak Perokok mendakwa merokok bukan jenayah, walhal kesemua mereka adalah beragama Islam?


“Maka saya minta, penguat kuasa dan pendakwa syariah, sila bangun, jangan tidur,” katanya.



The post Individu Islam bantah larangan merokok boleh kena tindakan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop