Expired : 18.06.18

Individu pernah bersama IS akan diterima semula tetapi bersyarat


BANGI, 6 Rejab 1440H, Rabu – Apabila bom mula gugur di sekelilingnya di wilayah dikuasai IS di Syria, Lidia memutuskan itu adalah masa untuknya keluar. Buat pertama kali sejak lebih empat tahun, rakyat Malaysia berusia 29 tahun itu, rindu untuk pulang.


Juruteknik makmal perubatan berbahasa Mandarin itu hilang dari Malaysia bersama anak lelaki dan suaminya pada Oktober 2014 untuk mengembara secara rahsia ke Syria.


Dua minggu lalu dia mengirim pesanan bertulis kepada bapanya yang tinggal di Johor, memberitahu dia telah meninggalkan wilayah dikuasai IS, dan meminta membantunya pulang ke Malaysia.


“Saya tidak pernah hilang harapan bahawa suatu hari Lidia akan memberitahu saya dia mahu pulang,” kata ahli perniagaan yang enggan namanya disiarkan.



Memetik laporan Al-Jazeera, Lidia adalah antara 13 warga Malaysia yang mahu pulang, susulan serangan besar-besaran tentera Syrian Democratic Forces (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS), ke atas kubu terakhir IS di perkampungan Baghouz di timur Syria.


Agensi berita itu melaporkan pihak berkuasa sedang berusaha untuk membawa mereka pulang ke Malaysia. Ini disahkan Pengarah Bahagian Anti Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan.


“Kami akan cuba membawa mereka pulang… ya, termasuk Lidia. Tetapi anda perlu tahu, situasinya sukar kerana membabitkan banyak pihak daripada pelbagai negara,” katanya kepada Al-Jazeera.


Tatkala sesetengah negara membuat keputusan membatalkan kerakyatan bekas pejuang dan anggota keluarga mereka serta menghalang mereka kembali ke negara asal, Malaysia membenarkan kumpulan itu pulang, asalkan mereka mematuhi pemeriksaan dan penguatkuasaan serta menjalani program pemulihan selama sebulan.


“Tidak semua akan ditangkap, tapi mereka yang pulang akan disoal siasat. Kami akan melakukan pemeriksaan dan penyiasatan menyeluruh ke atas setiap mereka yang kembali.


“Kami akan membawa ulama dan ahli psikologi untuk menilai ideologi dan psikologi mereka. Kami akan membandingkan maklumat risikan yang kami terima daripada agensi perkhidmatan asing.


“Sekiranya terdapat bukti bahawa mereka yang pulang itu terbabit dalam kegiatan militan IS, dia, sama ada lelaki atau wanita, akan didakwa di mahkamah,” kata Ayob.



Sehingga kini, 11 warga Malaysia sudah pulang, dengan lapan lelaki dituduh di mahkamah dan didapati bersalah.


“Seorang wanita dan dua kanak-kanak berusia tiga dan lima tahun telah menjalani pemulihan dan kini pulang ke kampungnya, tetapi terus diawasi,” katanya.


Walaupun IS kini diambang kekalahan di Iraq dan Syria, masih ada rakyat Malaysia yang terus berjuang untuk kumpulan itu.


“Kami sentiasa memerhati mereka. Mana-mana yang tidak dapat ke Syria kini sedang meninjau peluang ke Mindanao di Selatan Filipina, di mana kumpulan militan di sana mempunyai hubungan dengan IS,” katanya.


Ayob berkata, 51 rakyat Malaysia masih berada di Syria, termasuk 17 daripadanya kanak-kanak.



Pengembaraan Lidia meninggalkan wilayah IS sukar dan mencabar. Dia terpaksa berjalan kaki selama lima hari dari bandar Mayadin di daerah Deir Az Zor bersama dua anaknya berusia dua dan empat tahun, untuk tiba di kawasan dikawal kumpulan Kurdis di kem Hasakah.


“Dia bersama seorang lagi wanita Malaysia bernama Aisyah ke kem al-Hol di Hasakah. Dia mempunyai makanan dan selimut.


“Tetapi tempat itu tidak selesa untuk dia dan anaknya. Dia mahu pulang ke rumah secepat yang boleh, dan dia telah mendaftar dengan Palang Merah,” kata bapa Lidia.


Ribuan wanita dan kanak-kanak anak militan IS meninggalkan kawasan terakhir mereka menuju kem al-Hol, tatkala ‘negara khalifah’ hampir runtuh.


Pejabat Penyelarasan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, kem al-Hol terlalu sesak dengan kira-kira 62,000 pelarian mencari perlindungan di situ, dan jumlahnya dijangka bertambah dari sehari ke sehari.



Sejak empat tahun lalu, Lidia sekali sekala berkomunikasi dengan bapanya menerusi WhatsApp.


Dia tidak tahu apa-apa mengenai tindakan Lidia ke Syria selepas bersalin anak pertama pada 2014, dan hanya melihat cucunya tiga kali di Malaysia sebelum dibawa keluar dari negara ini.


“Suaminya yang membawa Lidia ke sana. Dia tidak memahami apa IS buat di sana,” katanya.


Selepas suaminya terbunuh, Lidia enggan pulang walaupun bapanya merayu. Dia kemudian berkahwin sekali lagi, tetapi suami keduanya juga terbunuh.


“Saya percaya dia sekarang mahu pulang kerana kedua-dua suaminya sudah terbunuh,” kata ahli perniagaan itu.


Lidia adalah antara 102 rakyat Malaysia yang meninggalkan negara ini untuk tinggal bersama militan IS. Kira-kira 40 daripadanya dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Syria dan Iraq, manakala sembilan menjadi pengebom bunuh diri.



Berbincang dengan Palang Merah di ibu negara, bapa Lidia menjangkakan akan mengambil masa sebelum anaknya dapat pulang.


“Saya bertemu bapa wanita lain di Palang Merah. Dia memberitahu, anak perempuannya berada di kem pelarian di Syria. Ia sudah setahun dan wanita itu masih di sana,” katanya.


Bagi bapa Lidia, dia cuma mahu anaknya pulang dan dapat melihat cucunya.


“Biar pengalamannya bersama IS memberi pengajaran kepadanya. Sekarang terbukti Malaysia lebih baik daripada ‘kerajaan khalifah’ itu. Sekarang dia boleh membuat perbandingan,” katanya. – Al-Jazeera


The post Individu pernah bersama IS akan diterima semula tetapi bersyarat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop