Expired : 18.06.18

Indonesia henti pencarian mangsa nahas Lion Air

JAKARTA, 3 Rabiulawal 1440H, Ahad – Pihak berkuasa Indonesia menghentikan operasi mencari mangsa nahas pesawat Lion Air JT-610, yang terhempas di perairan Karawang, hampir dua minggu lalu.


Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), Muhammad Syaugi berkata, 196 beg mayat mengandungi bahagian tubuh mangsa diperolehi, dengan 79 mangsa dapat dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disemadikan.


“Tiada lagi lokasi untuk dicari dan kami tidak lagi menjumpai mayat mangsa. Kami akan mengehadkan operasi kepada pemantauan sahaja,” katanya.


Namun, beliau berkata, pihaknya akan terus mencari kotak hitam kedua dan perakam suara kokpit penerbangan Lion Air berkenaan.



Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT), Soearjanto Tjahjono berkata, pihaknya sudah memuat turun data daripada salah satu kotak hitam – perakam data penerbangan, yang ditemui minggu lalu.


Dilaporkan, Syarikat Lion Air sudah mula membayar wang pampasan sebanyak AS$102,058 kepada keluarga penumpang pesawat.


Pesawat Lion Air JT-610 yang membawa 189 penumpang, termasuk dua bayi dan tujuh kru penerbangan itu, dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 6.33 pagi, 10 minit selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seokarno-Hatta di Jakarta.. – Agensi


The post Indonesia henti pencarian mangsa nahas Lion Air appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop