Expired : 18.06.18

Indonesia khuatir ancaman pengganas Daesh tersebar ke rantau lain



NEW YORK, 7 Jamadilakhir 1440H, Selasa – Selepas Daesh tewas di Syria, Indonesia khuatir jika propaganda, radikalisasi dan perekrutan kumpulan pengganas itu beralih ke rantau lain, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang diplomat kanan pada Isnin.

 

Dian Triansyah Djani, wakil tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkata demikian pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai ancaman terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa yang disebabkan oleh tindakan pengganas.

 

“Kami juga terus bimbang dengan ancaman Pejuang Pengganas Asing yang kembali, ditempatkan semula atau dibebaskan di pelbagai rantau dan negara,” kata Djani.

 

Antara trend paling membimbangkan ialah perekrutan dan radikalisasi golongan wanita dan kanak-kanak, terutama mereka yang berpendidikan tinggi serta berasal dari latar belakang kelas menengah, kata beliau.

 

“Ia juga penilaian kami bahawa perancangan dan logistik pengganas telah beralih ke arah teknologi tinggi, aktiviti siber termasuk urus niaga dalam talian, penipuan dalam talian, kutipan dana melalui media sosial, pendanaan ramai dan sumbangan,” katanya.

 

Indonesia mengutuk keganasan dalam segala bentuk dan manifestasi tanpa mengira punca atau motivasinya, kata beliau.

 

“Tidak ada justifikasi yang wajar, dan kami sekali lagi menzahirkan bantahan kami terhadap sebarang usaha untuk mengaitkan ancaman ini dengan mana-mana agama, negara, bangsa atau peradaban tertentu,” kata diplomat Indonesia itu.

 

Diplomat itu turut menegaskan kepentingan berkaitan kemampuan menyesuaikan diri selaras dengan peningkatan cabaran yang semakin dinamik dan kompleks. 

 

“Berdasarkan sifat cabaran itu, kita bukan sahaja perlu menentukan dasar kita tetapi juga harus inovatif dan praktikal dalam pendekatan kita,” kata beliau. – Bernama




 



The post Indonesia khuatir ancaman pengganas Daesh tersebar ke rantau lain appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop