Expired : 18.06.18

“Ini kerja khianat..kejam” guru sebak lihat 10 arnab terkulai mati



SEORANG guru taman bimbingan kanak-kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terkilan apabila 10 ekor arnab yang dipelihara ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan mulut berlumuran darah dipercayai akibat perbuatan khianat.


Kesemua arnab itu yang dipelihara untuk aktiviti luar kanak-kanak tabika Kemas di Puchong Utama Court 2 Puchong ditemui terkulai mati pagi semalam.


Guru berkenaan, Norashikin Mohd Kassim, 33, berkata, kejadian disedari pagi semalam apabila pembantunya ke sangkar terletak di belakang bangunan tabika untuk memberi makan haiwan peliharaan itu.




ARNAB ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah tadika dipercayai menjadi mangsa perbuatan khianat di Puchong, Kuala Lumpur semalam.



Norashikin berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan tenaga pengajar berasa sangat terkilan, malah ada ibu bapa kanak-kanak menangis melihat keadaan haiwan berkenaan.


“Ini adalah perbuatan manusia berhati binatang. Kalau pun ada yang tidak kena, janganlah dilepaskan marah kepada haiwan yang tidak berdosa,” katanya.


Menurut Norashikin, dia percaya ada pihak tidak bertanggungjawab memecah masuk premis berkenaan ekoran terdapat kesan pagar yang dirosakkan selain umpilan pada kunci kandang haiwan terbabit.


Katanya, sudah jadi rutin setiap pagi, pembantunya akan memberi makan kepada arnab-arnab dan seekor ayam serama yang dipelihara di tabika berkenaan sejak setahun lalu.




KANDANG arnab yang terdapat kesan umpilan dipercayai dipecah masuk di Puchong semalam.



“Kami terkejut dengan apa yang berlaku kerana kehadiran haiwan itu tak ganggu sesiapa pun. Peristiwa ini menyebabkan bukan saja guru bersedih malah ada ibu bapa yang menangis sebaik melihat keadaan haiwan itu,” tambahnya.


Norashikin berkata, dia tidak tahu punca kematian haiwan terbabit namun sudah membuat laporan polis bagi siasatan selanjutnya.


Katanya, haiwan itu dipelihara bagi memenuhi aktiviti luar 54 kanak-kanak sesi pagi dan petang di tabika itu.


“Saya tak tahu siapa yang lakukan perbuatan tidak bertanggungjawab ini dan apa motifnya, kalau nak kata ‘kerja’ anjing liar mustahil sebab pintu pagar sangkar yang terkunci diumpil dan kuncinya terkopak.


“Rentetan kejadian ini kami kini bimbang dengan keselamatan warga sekolah tabika di sini,” katanya.


Terdahulu, Norashikin mendakwa tabika itu pernah dipecah masuk enam tahun lalu dan penjenayah melarikan sebuah televisyen serta bekalan makanan yang disimpan di stor dapur.


Dua bulan lalu pula pihaknya mendapati terdapat kesan pagar sekolah digunting namun tiada apa-apa kehilangan dilaporkan.


“Kami tidak tahu siapa yang lakukan perbuatan ini namun berharap polis menjalankan siasatan sewajarnya,” katanya.


The post “Ini kerja khianat..kejam” guru sebak lihat 10 arnab terkulai mati appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop