Expired : 18.06.18

Innovate Johor 2018 : Pamer Keupayaan Rekacipta dan Inovasi Penyelidik dan Pelajar

JOHOR BAHRU, 31 Okt. – Innovate Johor 2018 membuktikan bahawa penyelidik dan pelajar tempatan mampu untuk menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti dan industri tempatan.


Program ini membuka minda komuniti terhadap keupayaan rekacipta dan inovasi penyelidik di institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelajar sekolah di seluruh Negeri Johor.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan Negeri Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda bin Haji Hassan berkata, sebahagian inovasi mereka berpotensi besar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.


YB Tuan Haji Aminolhuda bin Haji Hassan semasa ucapan perasmian

“Pertandingan inovasi pelbagai peringkat ini merupakan inisiatif yang sangat bermakna dalam mencungkil keupayaan penyelidik dan pelajar di negeri ini,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Innovate Johor 2018 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.


Turut memeriahkan majlis ini ialah Pengarah-pengarah dan wakil daripada Politeknik seluruh negara, Rektor dan Pengarah IPT Johor, wakil Unit Perancang Ekonomi Johor, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan dan Pegawai Kanan UTM.


Program selama tiga hari bermula dari 29 hingga 31 Oktober ini bertemakan ‘Memperkasa Penyelidikan Melalui Inovasi dan Keusahawanan’ menampilkan hampir 100 projek inovasi penyelidik UTM, IPT dan kolej jemputan serta pelajar.


Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar, program ini juga bertujuan untuk berkongsi dengan rakan industri, orang awam serta pelajar sekolah bahawa UTM sentiasa membuka peluang kepada pihak luar untuk menggunakan inovasi dan kepakaran kami,” tambah beliau.


Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dengan Digital Johor bagi memperkasakan usahawan digital di universiti itu, di mana UTM telah diwakili oleh Naib Canselor, Datuk Wahid manakala KPRJ diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Abdul Wahab bin Abdullah, sambil disaksikan oleh Pengarah CCIN, Prof. Madya Dr. Johari bin Surif dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Tn. Hj. Mohd Noorazam bin Dato’ Haji Osman.


Datuk Wahid dan Datuk Abdul Wahab bin Abdullah semasa majlis pertukaran MoU

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus.


YB Aminolhuda sebelum itu telah menyampaikan anugerah kepada para pemenang yang memenangi beberapa kategori yang dipertandingkan. Juara bagi kategori UTM Grand Challenges telah dijuarai oleh Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman dari Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan.


Pemenang bagi kategori ini membawa pulang pingat kemenangan, Sijil penghargaan dan juga hadiah wang tunai sebanyak RM300.00


Bagi kategori Hadiah Inovasi (Institut Pengajian Tinggi dan Kolej), Kolej Komuniti Pasir Gudang telah diisytiharkan sebagai pemenang dimana Ketua Projeknya, Noorashikin Mustafa membawa pulang Sijil, Plak dan juga hadiah wang kemenangan berjumlah RM500.00.


Bagi acara kemuncak telah menyaksikan anugerah utama program iaitu Anugerah Best of the Best telah dimenangi oleh Dr. Norhaniza Yusof dari Fakulti Kejuruteraan.


Untuk kemenangan ini, beliau telah membawa pulang sijil, plak dan juga hadiah Geran Penyelidikan berjumlah RM50,000.00.


Dr. Norhaniza Yusof (enam kanan) menerima anugerah kemenangan Best of the Best Award Innovate Johor 2018 dari YB Aminolhuda Hassan (lima kanan) yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.


Dr. Norhaniza Yusof (enam kanan) menerima anugerah kemenangan Best of the Best Award Innovate Johor 2018 dari YB Aminolhuda Hassan (lima kanan) yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Norlida Ishak Shop