Expired : 18.06.18

Insiden Video Pegawai Awam MPSJ Di Pukul Pengguna, Kesal Kenyataan ADUN

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, YB Michelle Ng Sze Mei berikutan insiden Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang diserang serta dipukul oleh pengguna jalan raya adalah amat mendukacitakan.


Dalam satu kenyataan medianya hari ini, Ketua Pemuda UMNO Subang, Alfie Zainal berkata amatlah tidak wajar YB Michelle mengeluarkan kenyataan awam untuk membela pengguna jalan raya yang ganas dan tidak langsung mengambil kira isu penjawat awam yang dikasari ketika menjalankan tugas.


“Sebagai kerajaan yang kononnya mendokong konsep ‘Rule of Law’ ADUN Subang Jaya ini sepatutnya bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran pihak awam dalam menghormati undang-undang. Namun kenyataan beliau seolah-olah menggalakkan orang awam untuk bertindak ganas terhadap pegawai awam,” katanya.



Beliau seterusnya mengingatkan bahawa penggunaan kekerasan terhadap pegawai awam bukan sahaja salah malah akan memberi kesan undang-undang.


“Akhir sekali saya ingin mengingatkan YB Michelle bahawa penggunaan keganasan terhadap pegawai awam bukan sahaja salah malah akan membawa kesan undang-undang dan sepatutnya di penjara,” ujarnya.


Dilaporkan, Michelle telah menggesa anggota (MPSJ) yang terlibat untuk memohon maaf kepada individu terbabit dan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan anggota penguat kuasa yang dianggap tidak wajar membalas kekasaran.


Terdahulu tular satu video berdurasi 37 saat menunjukkan seorang lelaki ‘mengacukan’ payung kepada seorang anggota penguat kuasa. Tindakan ini dipercayai berlaku selepas anggota penguat kuasa terbabit melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan milik lelaki berkenaan.


Anggota penguat kuasa berkenaan pada mulanya meminta lelaki terbabit tidak menggunakan kekerasan, namun lelaki tersebut terus memukulnya dengan payung yang dipegang. – UMNO Online