Expired : 18.06.18

IPP Februari lembap, ringgit terus susut berbanding dolar Amerika


KUALA LUMPUR, 6 Syaaban 1440H, Jumaat – Ringgit susut berbanding dolar AS hari ini, dengan peniaga mata wang masih enggan melayani risiko selepas pengumuman data indeks pengeluaran perindustrian (IPP) bagi Februari yang agak lembap, termasuk unjuran pertumbuhan global yang lemah oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Pada jam 6 petang, ringgit mencatatkan pengurangan sebanyak 0.17 peratus untuk ditutup pada 4.1120/1160 berbanding dolar AS daripada 4.1050/1100 semalam.


Ketua Urus Niaga dan Strategi Pasaran SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, data IPP Februari menyumbang kepada kemerosotan ringgit, kerana ia mampu mencetuskan lebih banyak aliran keluar ekuiti daripada stok sektor perlombongan dan tenaga yang penting.


IPP Malaysia naik sebanyak 1.7 peratus dari tahun ke tahun pada Februari, mencatatkan pertumbuhan yang paling tidak memberangsangkan sejak Jun 2018, berikutan indeks sektor pembuatan dan elektrik berkembang pada kadar yang lebih perlahan manakala perlombongan mencatatkan kejatuhan yang agak ketara.


Innes berkata, indeks itu berkembang dengan lebih perlahan daripada jangkaan 2.2 peratus, ini menyokong pandangan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan menerima pakai kecenderungan untuk kadar faedah yang lebih rendah disebabkan kejatuhan Indeks IPP ini boleh mengenakan kesan-kesan negatif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, yang sentiasa menjadi metrik utama yang dirujuk oleh BNM.


“Apabila digabungkan dengan kemungkinan kadar faedah yang lebih rendah daripada BNM, data IPP tersebut dilihat telah mencerminkan isyarat negatif kepada para peniaga mata wang,” katanya kepada Bernama hari ini.


Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan nilai ringgit adalah selaras dengan keadaan mata wang serantau, memandangkan naratif risiko kemerosotan dilihat semakin nyata, berdasarkan kepada semakan semula ramalan pertumbuhan global IMF yang terkini.


“Bank Pusat Eropah dan Rizab Persekutuan AS juga dilihat agak berwaspada dengan baki risiko yang agak condong kepada sisi negatif berdasarkan kepada kenyataan baru-baru ini.


“Oleh itu, keadaan sekarang adalah bersifat pengurangan risiko dan kami percaya pasaran tukaran mata wang asing sudah menjadi terlalu berisiko, menyebabkan permintaan yang lebih tinggi bagi mata wang selamat,” katanya.


Minggu ini, IMF telah menurunkan ramalan pertumbuhan KDNK global bagi 2019 kepada 3.3 peratus daripada ramalan sebelumnya iaitu sebanyak 3.5 peratus dibuat pada Januari tahun ini.


Secara keseluruhan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama


Ia menurun berbanding yen Jepun kepada 3.7008/7048 daripada 3.6939/6987 dan menyusut berbanding pound British kepada 5.3826/3883 daripada 5.3673/3755 yang direkodkan semalam.


Mata wang tempatan itu juga jatuh berbanding euro kepada 4.6367/6428 daripada 4.6292/6361 dan berbanding dolar Singapura, ia merosot kepada 3.0383/0417 daripada 3.0347/0393. – Bernama


The post IPP Februari lembap, ringgit terus susut berbanding dolar Amerika appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop