Expired : 18.06.18

Ismail Sabri ganti Zahid sebagai ketua pembangkang di Parlimen


KUALA LUMPUR, 30 Jamadilakhir 1440H, Khamis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai ketua pembangkang baharu pada sidang Dewan Rakyat bermula Isnin ini.


Beliau menggantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Anggota Parlimen Bagan Datuk, yang bercuti daripada menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO.


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, berkata pelantikan Ismail Sabri dibuat berdasarkan kekananan dan hierarki dalam parti serta Barisan Nasional (BN).


“Jawatan Ketua Whip BN yang sebelum ini disandang oleh Ismail Sabri akan diganti oleh Anggota Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di sini hari ini.


Ismail Sabri adalah Anggota Parlimen Bera.


Sementara itu, Mohamad berkata, UMNO akan menubuhkan sebuah Jabatan Pilihan Raya yang akan sentiasa melakukan gerak kerja, menganalisis dan menyusun strategi dalam menyiapkan jentera parti di peringkat bawah.


Katanya, jabatan itu akan diketuai seorang yang mempunyai kepakaran dan mahu bekerja dengan UMNO dan tidak semestinya daripada kalangan barisan kepimpinan MT parti. – Bernama


The post Ismail Sabri ganti Zahid sebagai ketua pembangkang di Parlimen appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop