Expired : 18.06.18

Israel ‘lampu hijau’ 2,000 rumah haram di wilayah Palestin

BAITULMAQDIS, 11 Jamadilawal 1441H, Selasa – Negara tidak diiktiraf, Israel meluluskan pembinaan lebih 2,000 buah rumah pendatang haram di wilayah Palestin yang diduduki, kata kumpulan pemerhati, semalam.


Peace Now berkata, hampir 800 unit perumahan menerima kelulusan akhir yang diperlukan untuk proses pembinaan, manakala kelulusan awal pula diberikan untuk tambahan 1,150 rumah lagi.


“Projek penempatan memerlukan beberapa kelulusan. Lampu hijau diberikan pada Ahad dan Isnin,” kata kumpulan pemerhati itu sambil menambah, 89 peratus rumah baru akan didirikan di ‘penempatan yang mungkin Israel perlu berpindah di bawah perjanjian damai Palestin pada masa depan’.


Menurut Peace Now, penempatan pendatang haram telah meningkat di bawah pemerintahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan sekutunya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.


Israel menawan Tebing Barat dari Jordan ketika Perang 1967 dan masyarakat antarabangsa menganggap ia sebagai wilayah jajahan Israel.


Pendudukan haram Israel disifatkan sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa dan dilihat sebagai penghalang utama kepada proses perdamaian.


Kira-kira 600,000 warga Yahudi tinggal di beberapa penempatan di Tebing Barat yang ditakluki Israel termasuk Baitulmaqdis yang dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.


Bagaimanapun, hujung tahun lalu, pentadbiran Trump mengatakan, bahawa ia tidak lagi menganggap penempatan Israel di wilayah yang diduduki menyalahi undang-undang. – Agensi


The post Israel ‘lampu hijau’ 2,000 rumah haram di wilayah Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.