Expired : 18.06.18

Istimewanya Muhammad Alif [METROTV]

“ALHAMDULILLAH, semangatnya untuk belajar cukup kuat meskipun dalam keadaan fizikalnya begitu.


“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh menulis Jawi dengan baik dalam keadaan jarinya melekat. Cuma yang saya tahu, dia belajar semua itu di sekolah,” kata Ruziah Ismail, 40.


Ruziah adalah ibu kepada Muhammad Alif Firdaus Mohd Rosdy, 9, kanak-kanak boleh menulis Jawi dan huruf Arab dengan baik dan kemas biarpun berdepan keadaan kesihatan yang menjejaskan fungsi hampir kesemua jarinya.


Dikenali sebagai ‘epidermolysis bullosa’, penyakit terbabit menyerang anak bongsunya itu yang mesra dengan panggilan Alif sejak lahir lagi, kata Ruziah.


Katanya, selain kulit rapuh akibat lapisan kulit tidak cukup dan nipis, penyakit itu juga menyebabkan jemari Alif melekat sesamanya serta pada tapak tangan.


“Awalnya, semua jari Alif dalam keadaan baik dan tidak melekat, ia (melekat) tidak berlaku secara drastik dan hanya membabitkan empat jari lain selain ibu jari.


“Sehinggalah ketika umurnya sekitar tiga hingga empat tahun, ibu jari Alif seakan mula mengikut yang lain dan juga hampir melekat pada tapak tangan.


“Bagi mengelak ia berlaku, saya terpaksa menggunakan kain balutan untuk ‘memisahkannya’ serta bagi melindungi kulitnya yang rapuh hampir di seluruh badan.


“Boleh dikatakan hampir 24 jam Alif akan ‘berbalut’ kecuali waktu mandi. Kulitnya terlalu rapuh hinggakan menyentuhnya dengan lembut pun boleh menyebabkan kulit Alif tertanggal dan dia akan menangis kerana pedih.


“Alif pernah menjalani pembedahan bagi tujuan memisahkan jari dan tapak tangannya. Malangnya, ia melekat semula dan doktor juga memaklumkan tiada jaminan pembedahan akan membantu kerana masalah itu hampir pasti akan berulang,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.


MUHAMMAD Alif Firdaus (kanan) menulis Jawi dan surah al-Fatihan dengan baik dan kemas biarpun hampir kesemua jarinya melekat (gambar kecil). FOTO ihsan Ruziah Ismail

Ruziah berkata, memikirkan kekangan dihadapi Alif khususnya membabitkan anggota badan yang diguna untuk menulis, dia tidak pernah meletakkan sasaran mahupun memaksa Alif dalam pembelajaran.


Namun, Alif sendiri tidak berputus asa untuk terus memegang pensil malah aktif bermain sama seperti kanak-kanak lain, katanya.


“Alif juga boleh menulis rumi dengan baik cuma hati saya agak tersentuh apabila melihat dia mampu menulis huruf Arab walaupun keadaan jarinya tidak sesempurna kita.


“Kini Alif sedang mengikuti bacaan Iqra’ 4 yang secara tidak langsung membolehkannya membaca ayat suci al-Quran walaupun tidak lancar.


“Memiliki anak seperti Muhammad Alif mungkin mencabar pada awalnya namun Alif jugalah penawar masalah kami sekeluarga.


“Apabila sudah besar seperti sekarang, Alif menjadi anak yang semakin mudah diurus dan mendengar kata malah rajin belajar mengatasi abang dan kakaknya.


“Jika boleh disamakan dengan pepatah sejuk perut ibu mengandung, itulah dia Muhammad Alif Firdaus,” katanya yang memutuskan untuk menjadi suri rumah bagi menguruskan Alif secara sepenuh masa.


Norlida Ishak Shop