Expired : 18.06.18

Isu bin Abdullah: Tiada cadangan pinda Akta BDRA, kata Mujahid

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilakhir 1441H,  Sabtu – Kerajaan belum bercadang untuk melakukan sebarang pindaan terhadap Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) bagi mengelak pertikaian dalam beberapa perkara spesifik susulan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.


Beliau berkata, ia sebagai menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.


“Belum ada sesuatu yang ‘solid’ dalam hal ini,” katanya pada sidang media khas bersama Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland di sini hari ini mengenai hasil lawatan kerja beliau ke Malaysia.


Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa pihak yang mahukan Akta BDRA dipinda dengan memasukkan peruntukan khusus berkaitan penamaan anak orang Islam.


Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan mufti untuk membincangkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, termasuk meneliti keperluan menyelaras undang-undang di peringkat negeri.


“Kerajaan hormat segala keputusan, kita anggap sebagai maklumat balas awam. Ini perbezaan pandangan dan pendapat yang ada,” katanya.


Khamis lepas, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf dalam keputusan majoriti 4-3, membenarkan sebahagian rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2017 yang memutuskan bahawa anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah.’


Menyentuh mengenai agihan pendapatan Tabung Haji (TH) kepada sejumlah 8.71 juta pendepositnya bagi tahun kewangan 2019, Mujahid berkata, ia akan diumumkan tidak lama lagi.


Pada April lalu, TH mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 1.25 peratus membabitkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun kewangan 2018.


Sebelum ini, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid dilaporkan sebagai melahirkan keyakinan bahawa TH mampu mengumumkan agihan pendapatan lebih baik berdasarkan prestasi kewangan lembaga itu pada suku ketiga tahun kewangan 2019. -Bernama


The post Isu bin Abdullah: Tiada cadangan pinda Akta BDRA, kata Mujahid appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.