Expired : 18.06.18

Isu Jawi: Contoh pornografi supaya orang Cina senang faham – Shu Qi

AHLI Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menjelaskan, beliau sengaja menggunakan contoh pornografi untuk menjelaskan kekeliruan tulisan Jawi supaya masyarakat Cina lebih mudah memahaminya.


Pemimpin DAP itu menegaskan, pihaknya pernah cuba menerangkan isu berkenaan dengan menunjukkan dokumen lama kerajaan tetapi contoh seumpama itu tidak kuat.


“Dalam beberapa sesi dialog yang saya adakan, ramai hadirin ketawa apabila melihat perbandingan ini dan menerima hakikat bahawa mereka sudah salah faham terhadap tulisan Jawi.


“Saya sengaja gunakan cara lebih menarik, tidak serius. Saya pernah tunjukkan dokumen lama kerajaan menggunakan tulisan Jawi dan bahasa Inggeris, tetapi contoh itu tidak kuat (untuk memberi penjelasan).


“Menerusi kaedah ini, lebih ramai faham apa yang saya sampaikan, sekali gus berjaya memecahkan mitos dan persepsi bahawa Jawi bukan tulisan agama, tetapi tulisan nusantara,” katanya dipetik portal BH.


Shu Qi diminta mengulas video tular menunjukkan beliau mengaitkan tulisan Jawi pernah digunakan bagi menulis buku pornografi suatu ketika dahulu.


Terdahulu dalam satu kenyataan, Shu Qi berkata, contoh itu digunakan dalam dialog tertutup bersama Persatuan Tiong Hwa Kluang dan wakil 27 persatuan masyarakat Cina di Kluang, Johor pada 9 Ogos lalu, bagi memberi penerangan berhubung isu tulisan Jawi.


Pada sesi itu, beliau turut menjelaskan dalam sesi dialog itu hampir tiada pihak yang menganggap kaligrafi Cina hanya khusus untuk agama Buddha walaupun ia banyak digunakan dalam manuskrip agama itu.


Bagaimanapun, beliau mendakwa ucapannya dirakam tanpa kebenaran seorang pemimpin MCA yang turut hadir dan dimuat naik ke akaun media sosial Naib Pengerusi Pemuda MCA Kluang, Joan Ng, sebelum sebahagian rakaman itu disebarkan tentera siber UMNO.


Ditanya jika ada persatuan yang hadir sesi dialog itu mengubah pendirian dan bersetuju dengan pelaksanaan tulisan Jawi dan khat di sekolah, Shu Qi berkata, belum ada yang mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.


“Selepas sesi dialog, mereka mengadakan mesyuarat dan membuat satu keputusan akan keluarkan kenyataan mengenainya. Saya tidak tahu apa keputusan itu kerana saya tiada dalam mesyuarat,” ujarnya.


Diminta mengulas sama ada beliau mahu memohon maaf kerana menggunakan contoh dilihat tidak sensitif kepada orang Melayu, Shu Qi berkata, beliau tidak akan berbuat demikian.


Katanya, penggunaan Jawi dalam bahan lucah adalah fakta tidak boleh dinafikan.


“Pada yang tersinggung, tak apalah. Ini fakta, kita tak boleh nafikan. Bahasa Mandarin juga ada digunakan dalam novel lucah.


“Terpulanglah pada netizen dan orang ramai mahu kritik saya. Yang penting, setiap kaum di Malaysia perlu ada keyakinan terhadap kebudayaan sendiri,” katanya.


The post Isu Jawi: Contoh pornografi supaya orang Cina senang faham – Shu Qi appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop