Expired : 18.06.18

Isu kirim keris: ADUN DAP desak Pos Malaysia mohon maaf

ADUN Balakong, Wong Siew Ki mendesak Pos Malaysia Berhad menarik balik kenyataan di Facebook susulan isu kiriman keris sebagai tanda ugutan terhadap pembantu khasnya baru-baru ini.


Pemimpin DAP itu juga mahu penyedia perkhidmatan mel itu memohon maaf secara terbuka kepada mangsa dan ahli keluarganya selepas satu jawapan Pos Malaysia terhadap satu pertanyaan netizen menjadi tular.


“Pihak kami menghormati bahawa kes ini dalam siasatan polis dan kami berasa pihak Pos Malaysia juga perlu peka dengan situasi semasa sebelum mengeluarkan kenyataan yang akhirnya telah dimanipulasi oleh banyak pihak, seakan-akan pihak kami telah membuat laporan palsu.


“Pihak Pos Malaysia sepatutnya meneliti dahulu isu dan keadaan semasa sebelum mengeluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi apabila siasatan polis sedang dijalankan,” katanya dalam sidang media hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan Pembantu Politik ADUN Balakong menerima ugutan melalui sampul surat yang mengandungi sebilah senjata tajam daripada individu tidak dikenali, disyaki ada kaitan dengan kempen membantah tulisan jawi.



Siew Ki mendakwa ugutan itu bersabit isu bantahan pengenalan tulisan Jawi.


Ekoran itu, laman Facebook rasmi Pos Malaysia Berhad dihujani pertanyaan sama ada pengguna boleh menggunakan perkhidmatan pos biasa untuk menghantar barangan berbentuk senjata seperti parang.


Antara pertanyaan dikemukakan adalah daripada seorang pengguna Facebook bernama Adie Dassler.


“Hi Pos Malaysia. Ini pertama kali saya membuat pertanyaan. Nak tanya boleh tak saya pos parang ke kampung menggunakan pos biasa? Letak setem?


“Sebab hari itu dalam media ada nampak seseorang menerima kiriman keris guna pos biasa. Sekurang-kurangnya boleh menjimatkan kos,” tanya beliau.



Soalan tersebut dijawab oleh pentadbir Facebook Pos Malaysia Berhad yang menegaskan senjata dan barangan berbahaya dilarang sama sekali untuk dihantar menggunakan perkhidmatan pos.


“Hi Adie Dassler terima kasih di atas pertanyaan anda. Tidak. Untuk makluman parang dan senjata berbahaya adalah barangan larangan untuk pengeposan.


“Pengeposan item seperti berikut akan ditahan dan dirampas. Untuk maklumat lanjut sila rujuk pautan berikut,” jawap Pos Malaysia Berhad.


Jawapan tersebut kemudiannya tular di media sosial sehinggakan Siew Ki dan pembantunya menjadi bahan jenaka netizen selain ada yang menuduh mereka membuat laporan palsu


Siew Ki dalam sidang akhbar itu menegaskan, Pos Malaysia tidak sepatutnya mengeluarkan apa-apa jua kenyataan atau cuba menolak tanggungjawab sebelum mereka sendiri mengambil inisiatif untuk melakukan siasatan secara dalaman.


Dakwanya, meskipun memberi kenyataan balas daripada komen yang diutarakan oleh netizen namun, ia merupakan satu tindakan tidak adil kepada mangsa.


Siew Ki berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pos Malaysia sekiranya pihak terbabit mengabaikan permintaan mereka sehingga tempoh yang diberi Isnin ini.


Sementara itu mangsa Lee Khai Ming pada sidang media sama berkata, beliau turut berasa kesal dengan sikap Pos Malaysia yang telah menjawab pertanyaan netizen di laman sosial itu seolah-olah memberi gambaran bahawa laporan polis yang dibuat olehnya adalah rekaan semata-mata.


Katanya, beliau bimbang jawapan yang diberikan oleh Pos Malaysia itu akan mengundang pula tanggapan pihak lain hingga boleh menimbulkan isu perkauman.


The post Isu kirim keris: ADUN DAP desak Pos Malaysia mohon maaf appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop