Expired : 18.06.18

Isu kuil: 24 Melayu, 3 India, 2 India muslim, satu Cina ditangkap

KUALA LUMPUR, 21 Rabiulawal 1440H, Khamis – Satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi menyiasat insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.


Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan itu yang dikenali sebagai Op Seafield diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan menggabungkan anggota JSJ Bukit Aman dan kontinjen polis Selangor.


“Sehingga kini sebanyak 34 orang telah dirakamkan percakapan, sejumlah besar keterangan fizikal juga telah berjaya dirampas di tempat kejadian iaitu 21 kereta dan enam motosikal yang telah dibakar, sembilan pisau dan dua bilah parang, tujuh pasang kasut dan tiga vest.


“Pihak polis juga telah menangkap 30 individu terdiri daripada 24 orang Melayu, dua orang India Muslim, tiga orang India dan seorang Cina dan semua mereka telah direman dengan tempoh reman berlainan sementara lima orang individu yang baru ditangkap semalam direman hari ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung isu kekecohan di kuil berkenaan yang bermula sejak awal pagi Isnin lalu.



Penjelasan Muhyiddin itu dibuat menurut Peraturan Mesyuarat 14(1) (i) iaitu penerangan daripada menteri-menteri.


Menjelaskan kejadian itu, Muhyiddin berkata, sebelum ini pihak pemaju telah mendapat perintah mahkamah untuk mengambil alih pemilikan tanah di kuil berkenaan sejak 2014 dan terdapat beberapa kali percubaan untuk mengambil alih tanah itu, namun gagal kerana bantahan dari kumpulan penganut Hindu.


Justeru, pada hari kejadian (26 November) sekumpulan lelaki Melayu terdiri daripada 50 orang, yang menerima arahan daripada beberapa individu yang bekerja dengan syarikat One City Development Sdn Bhd dengan bayaran antara RM150-RM300, menceroboh masuk ke dalam kuil untuk tugas mengosongkan kawasan itu bagi tujuan kerja-kerja pengambilalihan kuil.


“Lanjutan itu, polis menahan reman seorang peguam dalaman syarikat yang disyaki terbabit dalam mengupah lelaki Melayu melakukan pencerobohan ke atas kuil… polis juga telah mengenal pasti beberapa individu yang memainkan peranan dalam isu tersebut dan mereka akan dipanggil untuk proses siasatan selanjutnya.


“Motif kejadian telah dikenal pasti dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya,” katanya.


Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, siasatan ke atas kes anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang diserang hingga cedera parah disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh, dan beberapa rakaman video telah diperoleh serta dianalisis bagi mengenal pasti individu terbabit.


Selain itu, tujuh kertas siasatan lagi dibuka mengikut Kanun Keseksaan termasuk membabitkan khianat dengan api, rusuhan bersenjata, mencederakan dengan senjata dan pencerobohan kawasan, khianat dan menimbulkan apa-apa pelanggaran keamanan. 


Manakala, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. 


Siasatan juga dibuat ke atas berita-berita viral bagi membantu siasatan kes di samping membuat pengesahan ke atas fakta yang dikemukakan, katanya. 


Muhyiddin berkata, polis juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.


Beliau turut menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam, terutamanya dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. – Bernama


The post Isu kuil: 24 Melayu, 3 India, 2 India muslim, satu Cina ditangkap appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop