Expired : 18.06.18

Isu Penerokaan Tanah Haram Cameron Highlands: Fuziah Cuba Jadi Juara

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Operasi penguatkuasaan terhadap tanah-tanah yang diteroka secara haram di Cameron Highlands dilihat memasuki episod baharu apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh begitu lantang menuduh Kerajaan Negeri Pahang menggunakan keganasan ke atas pekebun sayur Cameron Highlands.


Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata padahal, Fuziah sendiri tahu bahawa operasi penguatkuasaan tersebut dilakukan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


“Kenapa YB Fuziah hanya mahu menyalahkan Kerajaan Negeri Pahang semata-mata dalam operasi penguatkuasaan ini? Kenapa YB Fuziah enggan menegur dan mengkritik TPM dan Kerajaan Persekutuan?



“Malah, YB Fuziah juga tahu bahawa pekebun sayur di Sg Tiang telah diberi notis sejak Februari tahun lalu, manakala pekebun sayur di Sg Ichat telah diberi notis sejak Mac tahun ini, untuk mengosongkan kawasan kebun mereka. Justeru, tuduhan YB Fuziah kononnya operasi penguatkuasaan ini dilakukan pada waktu yang kurang sesuai, adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.


Tegas beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub, tindakan Fuziah ini ternyata berniat jahat dan cuba menangguk di air keruh dengan menyalahkan Kerajaan Negeri  dan beliau dilihat hanya berhasrat menjadi juara dalam isu ini tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat Cameron Highlands.


“Kenyataan beliau tidak langsung membantu meredakan isu ini. Sebaliknya hanya mahu mengeruhkan lagi keadaan sedangkan YB Fuziah sendiri sedar bahawa telah berlaku pencemaran air yang sangat teruk di kawasan yang diterokai sehingga mengancam kesejahteraan masyarakat Cameron Highlands untuk jangka masa panjang.


“Selain itu, turut berlaku pergerakan cerun yang mampu mengakibatkan bencana tanah runtuh pada masa depan. Kerajaan Negeri Pahang tidak boleh mengambil pendekatan popular demi memenangi hati kelompok tertentu, tambahan pula ia menyentuh soal nyawa, keselamatan dan kesejahteraan majoriti masyarakat di Cameron Highlands.


“Sebaliknya Kerajaan Negeri Pahang telah bertindak secara profesional dan berlandaskan kepentingan rakyat teramai serta mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Malah, keputusan itu turut sama dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.


Justeru ujar beliau lagi tidak timbul dakwaan kononnya Kerajaan Negeri Pahang menindas atau menzalimi pekebun sayur yang terlibat.


“Sebaliknya kami rakyat Pahang amat menghargai usaha Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang bertungkus-lumus memajukan negeri, memperkukuh ekonomi negeri, menarik pelaburan asing ke dalam negeri, meningkatkan kutipan hasil negeri, dan mensejahterakan hidup rakyat di negeri ini.


“Malah, ketika ini sedang rancak berlangsung pemberian biasiswa berjumlah RM300 seorang untuk hampir 20,000 pelajar sekolah rendah terpilih di seluruh pelusuk negeri Pahang, tanpa mengira warna kulit dan kaum.


“Kesimpulannya, kami rakyat Pahang menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Pahang mempertahankan kawasan tadahan air Kuala Terla. Kerajaan Negeri jangan sesekali berkompromi atau tunduk kepada desakan atau ugutan pihak tertentu dalam isu ini,” tambahnya.- UMNO Online


Norlida Ishak Shop