Expired : 18.06.18

Isu TH: Abdul Azeez nafi YTH salah guna wang pendeposit

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulawal 1440H, Isnin – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim, hari ini menafikan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 menyalah guna wang pendeposit.


Beliau berkata, daripada RM22 juta yang digunakan bagi program YTH 2017, hanya RM7 juta adalah wang TH manakala bakinya hasil sumbangan Kerajaan Persekutuan, UMNO dan bayaran zakat beberapa syarikat korporat.


“Saya ingin tegaskan program YTH 2017 terutama program Ziarah Kasih pada Ramadan untuk membantu golongan asnaf tidak menggunakan duit penyimpan atau pendeposit TH.


“Program berkenaan memberi bantuan kepada golongan memerlukan seperti warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal serta warga miskin di lebih 62 Parlimen seluruh negara,” katanya seperti dilapor media tempatan.


Pada masa sama, Abdul Azeez menyifatkan laporan polis terhadapnya yang dibuat TH pada Jumaat lalu sebagai berniat jahat dan bertujuan mengaibkan dirinya serta institusi tersebut.


Beliau berkata, pengurusan Lembaga TH sepatutnya bertanya kepadanya terlebih dahulu memandangkan beliau merupakan bekas pengerusi tabung dana berkenaan.


“Tabung Haji tidak pernah memanggil saya untuk membela diri. Semua duit ini dimasukkan ke dalam Yayasan Tabung Haji (YTH), UMNO, kerajaan persekutuan, dan syarikat penyumbang telah berikan kepercayaan kepada YTH.


“Demi Allah, duit yang digunakan bukan daripada duit penyimpan dan tuduhan dilemparkan dianggap berniat jahat untuk mengaibkan saya serta TH,” katanya.



Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, turut kesal apabila TH tidak menggunakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam menyiasat kes itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media.


“Saya boleh memberi penjelasan lanjut kerana semua wang diterima atau digunakan ada rekod butirannya.


“Soalnya mengapa sekarang baru nak membuat laporan polis? Saya minta masyarakat jangan cepat menghukum dan tunggu sehingga selesai siasatan.


“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan yakin mereka akan menjalankan siasatan dengan telus serta amanah,” katanya.


The post Isu TH: Abdul Azeez nafi YTH salah guna wang pendeposit appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop