Expired : 18.06.18

Isytihar darurat bencana beza dengan gugat keselamatan


BANGI, 8 Rejab 1440H, Jumaat – Pengisytiharan darurat disebabkan bencana berbeza dengan darurat kerana menggugat keselamatan negara, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, apabila berlaku bencana berskala besar, darurat diisytihar supaya agensi-agensi penyelamat boleh menguruskan sumber tenaga untuk memberi respon, mengurangkan dan memulihkan keadaan serta membantu mangsa.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan dan menghapuskan kesan agar dapat mencegah bahaya yang melanda di kawasan-kawasan yang terkena bencana tersebut.

“Dengan perancangan yang teratur, ia akan dapat memulihkan semula kepada keadaan biasa dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di Twitter.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kes pencemaran sisa kimia berbahaya di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sehingga menyebabkan lebih 1,000 orang menerima rawatan oleh agensi berkaitan.

Setakat 12 tengah malam tadi, sebanyak 780 kes baharu telah dirujuk ke pusat rawatan awal, dan 202 individu yang telah mendapat rawatan susulan di hospital, sementara 113 lagi dimasukkan ke hospital.

Susulan keadaan yang semakin membimbangkan itu, semua sekolah di kawasan sekitar diarah tutup serta-merta, termasuk kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor, di Pasir Gudang.

Sejak beberapa hari lalu, banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membentangkan usul tergempar berkaitan keadaan semasa pencemaran itu di Dewan Rakyat, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, malah kerajaan juga tiada rancangan untuk memindahkan penduduk di kawasan itu.

“Keadaan masih terkawal, tapi penduduk tetap perlu berhati-hati berikutan situasi pencemaran masih belum berakhir ,” katanya pada sidang media di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.


The post Isytihar darurat bencana beza dengan gugat keselamatan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop