Expired : 18.06.18

Jackie lega kontak negatif Covid-19

ATLET baling tukul besi negara, Jackie Wong lega apabila dimaklumkan seramai 48 pegawai, jurulatih dan atlet yang pernah berhubung rapat dengannya didapati negatif Covid-19.


Perkara itu disahkan selepas mereka menjalani ujian dijalankan di Pusat Kesihatan Daerah Cheras pada 18 Mac lalu dan keputusan yang dikeluarkan kelmarin (21 Mac) mendapati kesemua yang mempunyai kontak rapat dengan Jackie sebelum ini adalah negatif.


Bagi Jackie yang kini menjalani kuarantin di Hospital Sibu tiada apa yang menggembirakan dirinya ketika ini selain daripada berita diterima itu.


“Ia berita amat menceriakan saya. Seramai 48 orang yang pernah berhubung rapat dengan saya sebelum ini semua negatif.


“Dengan ini saya boleh sahkan bahawa saya dijangkiti Covid-19 selepas saya balik ke kampung pada 11 Mac manakala ayah saya disyaki ketika menaiki kapal terbang dari KL ke Sibu bersama peserta perhimpunan tabligh pada 2 Mac,” katanya.


Pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi itu dengan catatan 67.01 meter (m) itu kini dilaporkan dalam keadaan sihat dan stabil.


Semua 48 atlet dan pegawai sebelum ini menjalani kuarantin di Majlis Sukan Negara (MSN) selama seminggu dan mereka kini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi meneruskan perintah kawalan pergerakan selepas MSN ditutup kepada orang ramai sehingga 31 Mac ini.