Expired : 18.06.18

Jaga-jaga Mane kembali

PENYERANG Liverpool, Sadio Mane memberi bayangan akan kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan.


Pemain Terbaik Afrika itu terpaksa diketepikan ketika Reds mencatat kemenangan 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers pada 23 Januari lalu.


Dia kemudian terlepas untuk beraksi di Piala FA bertemu Shrewsbury Town serta ketika kelabnya mencatatkan kemenangan ke atas West Ham United dan Southampton.


Selepas kecederaannya itu, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mendedahkan Mane akan terlepas sekurang-kurangnya dua perlawanan tetapi dia sudah gagal beraksi untuk tiga perlawanan.


Menerusi laman sosial Instagram miliknya, pemain berusia 27 tahun itu memuat naik gambarnya bersama pertahanan Croatia, Dejan Lovren dan dilihat gembira kembali menjalani latihan.


“Bersedia bersama rakan Mo (Mohamed) Salah,” tulis Manel dalam keterangan gambar itu.


Hampir kesemua pemain Liverpool tidak berada di pusat latihan di Melwood kerana cuti musim sejuk dengan hanya Mane, Salah dan Lovren pemain terawal yang menjalani latihan.


Skuad bimbingan Klopp menduduki tangga teratas liga dengan mengumpul 73 mata, lebih 22 mata mendahului Manchester City di tempat kedua.


Liverpool akan kembali beraksi dengan berkunjung ke Norwich City pada 15 Februari ini dalam usaha mereka untuk terus mengukuhkan kedudukan teratas.