Expired : 18.06.18

Jalan sesak, warga maya pertikai VVIP guna pengiring

Penunggang motosikal terduduk dipercayai selepas terlibat dengan kemalangan. — Foto ihsan Twitter/Tevanraj
Penunggang motosikal terduduk dipercayai selepas terlibat dengan kemalangan. — Foto ihsan Twitter/Tevanraj

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Biasa melihat kemalangan berpunca daripada kumpulan pengiring kenamaan (VVIP), warga maya berkongsi pengalaman sendiri di media sosial.

Seorang pengguna Twitter, Tevanraj memuat naik foto penunggang motosikal yang terduduk di tepi penghadang jalan.


“Mana-mana VVIP yang menggunakan khidmat polis pengiring semasa waktu trafik puncak termasuk menteri dan perdana menteri adalah bodoh.


“Mereka patut hentikan kemudahan ini. Lagi satu kemalangan kerana ini,” coretnya semalam.


Kerana itu, Tevanraj menambah di bebenang bahawa beliau terpaksa mengambil laluan lain dan terperangkap dalam kesesakan selama berjam-jam pula.


Perkongsian Tevanraj menarik beberapa pengguna lain berkongsi pengalaman ketika berdepan dengan polis pengiring sebelum ini.


Menurut Aina D, dia mengaku hampir terlibat kemalangan semasa ke tempat kerja.


“Beberapa polis pengiring tiba-tiba muncul dari kiri dan sekat tiga laluan kerana ada VVIP. Semua kereta dekat depan kena brek kecemasan sebab tiba-tiba sangat.


“Nasib baik kereta yang hampir langgar saya sempat elak ke tepi,” kata Aina.


Myra Hazel pula memberitahu pengalaman berdepan detik cemas hampir terlanggar salah seorang anggota polis pengiring.


“Tengah pecut tekan minyak, sekali VIP nak lalu. Polis tu selamba turun motor dan tahan macam itu saja. Highway kot! Brek kecemasan. Hampir terlanggar lelaki tu,” kata Myra.


Perkongsian Tevanraj mendapat 929 tanda suka dan 1,700 ulang kicau setakat ini.


Rata-rata warg maya menyokong luahannya itu dan ada yang berharap agar perkara itu sampai ke pengetahuan orang kenamaan.


“Kena tularkan ni sampai menteri-menteri tergugat,” kata Shaarison.