Expired : 18.06.18

Jaminan Oltmans untuk Firdaus

KETUA jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans memberi jaminan masanya akan tiba untuk penyerang muda negara, Muhammad Noor Firdaus Rosdi membuat penampilan kali pertama bersama skuad kebangsaan.


Pengendali dari Belanda itu berkata, Firdaus yang juga sebahagian pemain memenangi pingat emas ketika Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina tahun lalu, pasti akan meraih kap pertama bersama skuad kebangsaan.


Katanya ia sama ada menerusi siri jelajah Eropah atau pun perlawanan ujian di Jepun menjelang temasya Sukan Olimpik 2020.


"Kami akan dua kejohanan utama selepas ini iaitu pertama jelajah Eropah dan kedua perlawanan ujian di Jepun. "Saya pasti dia akan beraksi antara kedua-dua kejohanan ini sekaligus membuktikan kemampuannya.


"Apapun saya akan menamakan 20 pemain terbaik pada minggu depan," katanya.


Sejak dipanggil ke kem latihan kebangsaan Mac lalu, Firdaus masih belum mendapat tempat beraksi di kejohanan utama.


Ia berbeza berbanding tiga pemain seangkatannya, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, Muhammad Arif Syafie Ishak dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang sudah diberi peluang oleh Oltmans.


Dengan Firhan Ashari terpaksa berehat sekurang-kurangnya tujuh bulan selepas menjalani pembedahan lutut kiri, Oltmans mengakui peluang Firdaus kini lebih terbuka luas.


"Untuk Firhan saya tidak mahu memberi tekanan kepadanya. Biarlah dia kembali semula ke dalam pasukan dengan tahap kecergasan yang baik," katanya.


Norlida Ishak Shop