Expired : 18.06.18

Jangan dengki menteri cuba bantu kami — M. Kamaluddin

12 APRIL — Saudara pengarang, saya antara 80,000 mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) yang kini terkandas di asrama angkara Covid-19.

Tidak dapat pulang sejak pertengahan Mac lalu dan boleh dikatakan hampir tiada aktiviti untuk dilakukan, boleh saya katakan kehidupan kami di asrama kampus agak sengsara.


Orang lain walaupun tidak dapat keluar ke mana-mana jika tiada keperluan atau kecemasan tertentu, mereka masih lagi berada di samping keluarga, ibu bapa dan saudara mara, tetapi kami di asrama ‘dikurung’ sudah hampir sebulan lamanya.


Mungkin anda di luar sana tidak tahu kami mencari dan buat apa sahaja perkara untuk mengurangkan rasa sengsara itu, biar pun ada yang mungkin menganggap ia ‘benda bodoh’ atau membuang masa.


Jadi, bila ada pihak di luar termasuk juga menteri yang bersimpati dan mencari jalan untuk menghiburkan kami yang sedang stres ini, ia memang sesuatu yang dinanti-nantikan.


Antara yang prihatin dengan nasib kami adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad, tetapi ada pula yang mengkritik habis-habisan hasrat murni beliau, mengutuk seolah-olah dunia sudah mahu kiamat.


Bagi saya secara peribadi, bukan isu besar pun pertandingan hantaran TikTok yang mahu dianjurkan menteri untuk kami yang terkandas di asrama atau rumah sewa ini. Bukan ada paksaan untuk semua mengambil bahagian, yang tidak berminat, lupakan dan buat benda lain yang mereka minat.


Malah, ada pula warga maya sanggup membuang masa melancarkan kempen memecat menteri hanya semata-mata kerana perkara remeh ini, berbanding menyebar mesej mengajak rakyat membantu kerajaan memerangi wabak berbahaya Covid-19 yang sedang mengancam negara.


Saya tidak tahu, tetapi mungkin ketika menulis kritikan terhadap menteri, mereka selesa berada di hadapan komputer, mungkin sambil menonton Netflix sambil makan pizza yang masih panas yang dihantar terus dari restoran ke rumah.


Saya melihat mereka yang membuat kritikan itu sebagai tidak berhati perut, menyimpan hasad dan dengki, menyerang tanpa mengambil-kira apa perasaan kami yang terkandas dan sengsara di asrama universiti.


Apa yang cuba dilakukan oleh menteri semata-mata untuk membantu kami melepaskan tekanan dan saya rasa tidak salah untuk beliau berbuat demikian kerana TikTok sememangnya popular dalam kalangan pelajar IPT.


Menteri cuba membantu kami, tetapi ada pula pihak tertentu yang mungkin sudah tidak mempunyai isu lain untuk ditulis di media sosial, mencurah air ke dalam api.


Ada pula yang mahu Noraini fokus kepada dasar, tetapi bagi saya itu kenyataan paling tidak berilmu kerana seluruh negara sekarang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) .


Pertanyaan akhir saya kepada pengkritik, adakah dengan menganjurkan pertandingan hantaran TikTok, tumpuan menteri akan tersasar dan tidak boleh fokus kepada kepada dasar serta pembaharuan IPT?


* Marhaini Kamaluddin adalah penduduk Kolej Keris Mas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


** Tulisan ini pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail.