Expired : 18.06.18

‘Jangan gadai tanah bertuah ini kerana wang ringgit’


BANGI, 13 Muharram 1441H, Jumaat – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mesti ditubuhkan untuk menyiasat sindiket penjualan kad pengenalan Malaysia (MyKad) tidak sah kepada warga asing, tegas pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.


Bukan itu sahaja, beliau juga menggesa MyKad yang telah dijual secara tidak sah ditarik balik dengan segera, termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap pemberi rasuah.


“Berapa ramai yang telah diberikan MyKad sebegini? Suruhanjaya atau RCI mesti ditubuhkan untuk siasat perkara ini hingga ke akar umbi. Tarik balik MyKad tersebut. Ultra kiasu ini mesti dihantar balik ke negara asal. 


“Jangan hanya tangkap orang yang menerima rasuah. Perasuah atau ultra kiasu yang memberi rasuah mesti dihukum sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila ada orang Melayu yang mengkhianati bangsa sendiri demi wang ringgit.


Ridhuan Tee berkata, tindakan menjual MyKad untuk mendapat habuan dunia atau wang ringgit oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak boleh dimaafkan sama sekali. 


“Ini pengkhianatan besar kepada agama, bangsa dan negara. Sedarlah wahai Melayu yang bekerja di bahagian perkhidmatan kritikal seperti di JPN, Imigresen, Polis dan agensi penguat kuasa seperti PBT dan lain-lain.


“Jangan gadaikan negara dan tanah bertuah ini yang asal usul Melayu demi wang ringgit atau kesenangan duniawi.


“Ingat! Kamu tidak akan dapat kembali apa yang telah terlepas. Ambillah pengajaran apa yang terjadi di Palestin. Jangan sampai berulang di negara bertuah ini,” katanya. 


Terdahulu, polis mendedahkan penahanan 20 individu termasuk seorang pegawai JPN Pulau Pinang yang disyaki terbabit dengan aktiviti pengeluaran sijil kelahiran dan kad pengenalan secara tidak sah.


Siasatan mendapati ejen sindiket akan mencari warga asing yang ingin mendapatkan kewarganegaraan Malaysia dan proses akan diuruskan oleh seorang individu di JPN Pulau Pinang, selain dipercayai sindiket itu memperoleh bayaran antara RM100,000 sehingga RM600,000 daripada warga asing.


The post ‘Jangan gadai tanah bertuah ini kerana wang ringgit’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop