Expired : 18.06.18

Jangan salah guna label SKMM pada kotak TV Android

BANGI, 20 Jamadilakhir 1441H, Jumaat – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran tegas kepada pembekal dan penjual supaya tidak menyalahguna label untuk menggambarkan pihaknya membenarkan penjualan kotak TV Android bagi kegunaan penstriman dan memuat turun kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.


SKMM dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya ia mendapati berlaku penyalahgunaan label SKMM oleh pihak penjual.


Katanya, tindakan pembatalan sijil pemerakuan serta arahan untuk menarik semula semua kotak TV Android yang telah dijual dan berada dalam pasaran akan dibuat tanpa prejudis jika didapati melanggar peruntukan undang-undang serta syarat-syarat pemerakuan yang telah dikeluarkan.


“SKMM menegaskan bahawa pemerakuan kotak TV Android oleh SIRIM dan label SKMM tidak melibatkan kelulusan terhadap sebarang aplikasi untuk penstriman dan memuat turun sebarang filem, drama atau apa jua kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.


“Ini kerana, pemerakuan yang dikeluarkan oleh SIRIM untuk kotak TV Android dan label SKMM pada peralatan tersebut hanya membabitkan pematuhan modul WiFi dan Bluetooth terhadap standard-standard teknikal yang dikuatkuasakan oleh SKMM,” katanya.


Justeru, SKMM mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penjualan kotak TV Android yang mengandungi aplikasi atau disertakan dengan pakej perkhidmatan penstriman kandungan yang dilindungi hak ciptanya secara haram.


Antara Oktober 2018 dan Januari 2020, SKMM telah mengeluarkan kompaun sejumlah RM67,000 terhadap empat kesalahan membeli dan menjual kotak TV Android yang tidak diperakui, kata kenyataan itu.


“Manakala, tujuh lagi kes pula telah didakwa di mahkamah dan didenda sejumlah RM194,500 bagi tempoh yang sama,” katanya.


The post Jangan salah guna label SKMM pada kotak TV Android appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.