Expired : 18.06.18

Jawi: PAS sedia berdialog dengan MCA, Dong Jiao Zong

BANGI, 29 Rabiulawal 1441H, Khamis – PAS hari ini menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan kumpulan pendesak Cina, Dong Jiao Zong bagi menyelesaikan isu bantahan tulisan jawi di sekolah vernakular.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya yakin kaedah berdialog akan memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis dan syak wasangka yang akhirnya akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.


“PAS sebagai sebuah wadah politik yang ditubuhkan hampir 70 tahun yang lalu sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarangan perbincangan dan dialog dengan mana-mana pihak dalam semua perkara yang berkepentingan awam, termasuk dengan MCA dan Dong Jiao Zong.


“Perkara ini adalah selaras dengan ajaran Islam yang menjadi pegangan PAS.


“Bahkan ianya tercatat dalam Perlembagaan PAS, iaitu PAS boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan lain bukan sahaja bagi memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini, tapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia serta memastikan keharmonian antara semua kaum,” katanya dalam kenyataan.


Sebelum ini, Dong Jiao Zong setuju agar isu pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan melalui dialog.


Kumpulan pendesak Cina itu mengakui bersedia mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik bagi menyelesaikan isu itu sebelum atau selepas 28 Disember ini.


Bagaimanapun, persatuan itu tidak menyatakan sama ada kongres tertutup bagi membincangkan isu pembelajaran jawi yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini akan diteruskan atau tidak.


Mengulas lanjut, Takiyuddin memaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada awal Disember lalu telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Mahabbah PAS – MCA dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi merealisasikan hasrat itu


“Jawatankuasa ini dianggotai oleh sebilangan pimpinan kanan PAS yang mempunyai latar belakang yang pelbagai, termasuk para profesional selain agamawan,” jelas beliau.


The post Jawi: PAS sedia berdialog dengan MCA, Dong Jiao Zong appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop