Expired : 18.06.18

Jerebu: Jakim saran masjid adakan solat sunat Istisqa’


BANGI, 9 Muharram 1441H, Isnin – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan masjid seluruh negara untuk mengadakan solat sunat Istisqa’ (solat minta diturunkan hujan) bagi mengurangkan masalah jerebu yang melanda negara ketika ini.


Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, pihaknya telah dihubungi pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan mencecah pada tahap ‘Sangat Tidak Sihat.’


Beliau dalam satu kenyataan berkata, keadaan ini ditambah dengan hujan yang kurang menyebabkan kemarau dan masalah jerebu berpanjangan. 


“Pihak NADMA telah mengesyorkan Jakim untuk mengadakan Solat Sunat Istisqa di masjid-masjid bagi memohon hujan dan mengurangkan masalah jerebu. 


“Justeru, Jakim melalui masjid-masjid utama di bawahnya iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya akan mengadakan Solat Sunat Istisqa selepas solat Isyak pada malam ini. Orang ramai adalah dijemput hadir bagi sama-sama menjayakannya,” katanya.


Dalam pada itu, Mohammad Nordin memohon jasa baik dan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh Malaysia supaya menyeru semua masjid di bawah pentadbiran masing-masing melaksanakan solat Sunat Istisqa bagi tujuan tersebut.


“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat hujan di bumi Malaysia yang tercinta ini dan melindunginya dari bencana yang tidak diingini,” katanya.


Terdahulu, kerajaan dilaporkan akan menghantar nota diplomatik kepada Indonesia supaya negara berkenaan segera memadamkan kebakaran bagi memastikan kesan jerebu melanda negara ini tidak menjadi lebih teruk.


Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah berkata, Malaysia menyuarakan kebimbangan selepas mengambil kira sejumlah 1,393 tompok panas dikesan di Indonesia dengan 1,087 daripadanya berada di Kalimantan.


The post Jerebu: Jakim saran masjid adakan solat sunat Istisqa’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop