Expired : 18.06.18

Jerebu jejas industri pelancongan Sarawak

MIRI, 12 Safar 1441H, Jumaat – Masalah jerebu yang melanda Sarawak selama dua bulan sejak Ogos lepas telah menjejaskan industri pelancongan di negeri itu.


Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pihak berkepentingan dalam bidang pelancongan termasuk kerajaan negeri perlu bekerja dengan lebih keras untuk menarik lebih ramai pelancong kerana sehingga Ogos lepas, hanya 2.9 juta pelancong telah melawat Sarawak.


“Kami menyasarkan lima juta pelancong ke Sarawak tahun ini. Jerebu telah sedikit sebanyak menjejaskan ketibaan pelancong, walaupun ia agak mencabar, kami berusaha keras untuk mencapai sasaran itu,” katanya kepada pemberita, selepas melancarkan Sistem Pemantauan Kenderaan (VMS) di Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, di sini, hari ini.


Untuk rekod, masalah jerebu yang melanda Sarawak telah menyebabkan penutupan lebih 1,000 sekolah di negeri itu dengan bandar raya Miri, bandar raya Kuching, Sri Aman, Samarahan dan Betong menjadi kawasan paling teruk terjejas.


Situasi itu turut memaksa penangguhan pesta tahunan yang popular di negeri itu, iaitu Pesta Benak Sri Aman yang telah dijadualkan diadakan pada 27 September sehingga 29 Oktober ini.


Pesta Benak Sri Aman adalah antara acara popular di Sarawak dan menarik ​​​​peluncur ombak dari luar negara serta peluncur ombak tempatan dari Semenanjung.


Sementara itu, mengenai pelaksanaan VMS, beliau berkata, ia akan melancarkan proses pelepasan pelancong yang datang ke bandar raya Miri kerana sebelum ini, pihaknya menerima banyak aduan bahawa pelancong perlu mengambil masa sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan Kastam di CIQ Sungai Tujuh.


Oleh itu katanya, dengan pelaksanaan VMS itu, ia akan memendekkan waktu menunggu sehingga kurang dari seminit untuk melepasi pemeriksaan Kastam dan pemilk kenderaan hanya perlu mengimbas pas kenderaan di Kod QR untuk mendapatkan pelepasan.


CIQ Sungai Tujuh merupakan sempadan pertama Malaysia-Brunei yang melaksanakan VMS. -Bernama


The post Jerebu jejas industri pelancongan Sarawak appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop