Expired : 18.06.18

Jijoe, Syah Firdaus membara

KRISIS Covid-19 yang semakin terkawal melegakan John Beasley ketika ketua jurulatih berbasikal negara itu mula merencanakan perancangan terbaik buat Azizulhasni Awang dan Mohamad Syah Firdaus Sahrom.


Beasley berkata, keadaan di Melbourne kini sudah mula kembali normal secara berperingkat dan latihan ke velodrom juga sudah dibenarkan selain aktiviti di gimnasium.


Malah beliau turut melihat kedua-dua pelumba negara itu begitu bersemangat untuk kembali berlatih di trek dan kini berada dalam keadaan terbaik baik dari segi mental serta fizikal.


Biarpun ia sedikit mencabar namun Azizul dan Shah Firdaus sudah berjaya mengatasi tempoh waktu yang mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan dengan sangat baik.



Azizulhasni Awang. FOTO File NSTP
Azizulhasni Awang. FOTO File NSTP

"Ketika ini, kami di sini sudah kembali berlatih di trek tiga minggu dan sudah dapat kembali menyambung latihan seperti biasa.


"Saya sangat gembira melihat mereka berjaya melalui fasa ini dengan begitu tenang. Semuanya hampir kembali ke normal.


"Sebelum ini pun mereka cukup bersemangat menjalani latihan biarpun terpaksa melakukannya di rumah dan saya sangat bangga dengan cara kedua-dua altet negara itu melalui fasa yang begitu mencabar ini," katanya.


Bagaimanapun, perlu diakui Azizul dan Shah Firdaus memerlukan masa untuk mereka kembali ke prestasi terbaik namun semua itu sudah ada dalam perancangan Beasley.


"Mereka tidak akan berada di prestasi terbaik dalam waktu terdekat ini atau sehingga hujung tahun ini kerana tarikh Olimpik yang sudah ditunda.


Prestasi kemuncak itu mungkin akan diperoleh tiga bulan sebelum Olimpik tahun depan.


"Jadi buat ketika ini mereka akan meneruskan latihan asas selain cuba mencari beberapa perlumbaan di negara berdekatan namun bergantung juga kepada keadaan semasa," katanya.