Expired : 18.06.18

Jika ikhlas, Tun M keluarlah PH


BANGI, 4 Zulkaedah 1440H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH), sekiranya ikhlas mahu melihat orang Melayu menjadi kuat dan menguasai sepenuhnya politik negara.


Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Haji Rashidi Haris berkata, Dr Mahathir juga seharusnya bergabung bersama-sama PAS dan UMNO di bawah Muafakat Nasional, bukan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang kelihatan seperti mati segan hidup tak mahu dalam gabungan PH.


Katanya, pendekatan ini lebih berkesan kerana hanya akan didominasi oleh satu parti sahaja, tambahan pula Bersatu adalah serpihan UMNO, maka lebih baik kembali kepada UMNO dan menjadi ahli biasa daripada berpecah-belah.


“Saya yakin Dr Mahathir dapat menghidu kerajaan PH seperti tidak berupaya menyelamatkan umat Islam dan negara daripada menuju kemusnahan. Justeru, diajaknya semua parti Melayu bergabung dalam Bersatu.


“Kerana beliau tidak mahu pengakhirannya selaku Perdana Menteri tertua di catat dalam sejarah sebagai pemimpin yang menghancurkan dan merosakkan negara ini,” katanya kepada Ismaweb.


Kelmarin, Dr Mahathir mengajak semua parti politik Melayu bergabung di bawah Bersatu demi memastikan orang Melayu menjadi kuat.


Perdana menteri berkata, setakat ini sudah ada enam parti Melayu termasuk UMNO dan sekiranya lebih banyak lagi ditubuhkan orang Melayu akan terus berpecah belah.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi berkata, kenyataan Tun keluar selepas setahun lebih beliau mentadbir, dan tentulah banyak bukti yang jelas menunjukkan kerajaan PH adalah kerajaan yang gagal.


“Kerajaan boneka DAP ini gagal mendaulatkan Islam, hak keistimewaan orang Melayu, institusi Raja-Raja Melayu.


“Bahkan gagal menjaga ekonomi negara dan juga gagal menyelesaikan masalah sosial yang kian semakin parah. Terlalu banyak kegagalan,” katanya.


The post Jika ikhlas, Tun M keluarlah PH appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop