Expired : 18.06.18

Joo Ven ada dua bulan lagi

PEMAIN perseorangan negara, Soong Joo Ven mempunyai talian hayat kira-kira dua bulan lagi untuk membuktikan dirinya terus layak berada di dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum 'operasi' besar-besaran menyingkirkan pemain dilakukan badan induk itu untuk Projek 24 pada hujung tahun ini.


Pemain perseorangan negara paling senior berusia 24 tahun itu dilihat berdepan risiko untuk disingkirkan selepas melalui prestasi tidak menentu termasuk kecederaan hamstring yang mengganggunya.


Terbaru pada saingan Masters Indonesia, Joo Ven tewas di separuh akhir di tangan Sun Feixiang dari China.


"Sekarang ini saya lebih berhati-hati kerana bimbang akan berlaku kecederaan lagi. Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai perkara itu (penyingkiran) sebab ia masih agak lama lagi. "Yang penting untuk saya ketika ini adalah memberi yang terbaik di setiap kejohanan disertai," katanya.


Jelas Joo Ven, kejayaan mara sehingga ke separuh akhir di Masters Idonesia memberi suntikan semangat kepadanya untuk kejohanan selepas ini.


"Saya harap dapat raih keputusan seperti ini lagi," katanya. Ketika ini Joo Ven muncul pemain perseorangan ketiga terbaik negara dengan menduduki ranking ke-56 dunia di belakang Lee Zii Jia (15) serta pemain profesional, Liew Daren (33).


Projek 24 adalah satu hala tuju baru BAM bagi memastikan Malaysia meraih emas di Sukan Olimpik Paris 2024 serta melayakkan diri ke final Piala Thomas 2024.


Norlida Ishak Shop