Expired : 18.06.18

Jordan gesa EU iktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin








AMMAN, 1 Ramadan 1439H, Khamis – Jordan pada Rabu menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin, yang merupakan prasyarat bagi mencapai keamanan dan kestabilan di Timur Tengah, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi Petra.


Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, dalam satu pertemuan dengan duta-duta negara anggota EU di  Amman, di mana beliau menggesa agar tindakan segera diambil bagi membantu pembentukan satu jawatankuasa antarabangsa untuk menyiasat pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin oleh tentera Israel.


‘’Jenayah berterusan oleh Israel tanpa sebarang tindak balas antarabangsa akan membawa kepada satu kitaran keganasan baharu yang akan menjejaskan rantau ini, Eropah dan seluruh dunia kerana kestabilan di Timur Tengah adalah penting untuk kestabilan antarabangsa.’’


Safadi berkata amalan Israel dan ketiadaan penyelesaian kepada konflik itu memburukkan lagi keadaan serta meningkatkan keputusasaan, yang menyebabkan lebih banyak keganasan serta ekstremisme dan menggesa komuniti antarabangsa memikul tanggungjawab perundangan serta moral bagi melindungi penduduk Palestin.


Beliau turut memberi amaran berhubung akibat serius berpunca daripada langkah unilateral Israel yang berusaha untuk mewujudkan satu realiti baharu di kawasan terbabit, melemahkan usaha damai dan mengubah identiti Arab di Baitulmaqdis.


‘’Baitulmaqdis adalah kunci utama kepada keamanan, oleh itu, merealisasi hak-hak sah penduduk Palestin adalah satu kewajipan ke arah mencapai keamanan dan kestabilan serantau. Jordan akan melakukan segala usaha untuk memelihara tempat-tempat suci di Baitulmaqdis.’’


Amman mengutuk keputusan Amerika Syarikat menempatkan semula kedutaannya di Baitulmaqdis dan mengiktiraf kota suci yang menjadi pertikaian itu sebagai ibu negara Israel.


‘’Jordan akan bekerjasama dengan negara-negara Arab, EU dan semua rakan kongsi antarabangsa bagi mencapai keamanan berdasarkan penyelesaian dua negara selaras dengan inisiatif keamanan Arab dan resolusi sah antarabangsa.’’ –  Bernama





The post Jordan gesa EU iktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop