Expired : 18.06.18

Jual cicak Rm1.50 sekor boleh tambah pendapatan penoreh getah

JEMPOL: “Jika benar baguslah, boleh kami tambah pendapatan,” kata Gan Wee Jin, 34, dari Kampung Air Hitam di sini, ketika ditanya berhubung dakwaan ramai penoreh getah memburu cicak berikutan permintaan sebuah syarikat dari negara jiran untuk dijadikan makanan ikan.


Gan berkata, permintaan ke atas cicak hidup atau mati itu, jika benar, boleh menambahkan pendapatan penoreh apatah lagi harga getah sekarang merudum.


“Namun cerita berkenaan perlu disahkan betul atau sebaliknya kerana setiap jual beli memerlukan orang tengah.


“Memang ada penggunaan cicak untuk makanan ikan, malah saya juga kaki pancing dan sering gunakan cicak sebagai umpan. Tetapi apabila ada pihak yang sanggup tawarkan RM1.50 bagi seekor haiwan itu, pasti ramai yang memburunya,” katanya ketika ditemui di sini.


Gan berkata, jika benar harga ditawarkan RM1.50 untuk seekor cicak, ia mampu memberi pendapatan tambahan kepada penoreh yang ketika ini hanya mampu memperoleh purata RM30 sehari.


Bagi seorang lagi penoreh getah, Wong Kim Yuen, 50, dia ada membaca berita mengenai cicak berkenaan namun tidak dinyatakan secara terperinci.


Katanya, jika benar, dia sendiri akan menangkap cicak berkenaan kerana harga ditawarkan sangat berbaloi.


“Siapa yang tidak mahu tambah pendapatan, tetapi setakat ini saya tak tahu pula siapa yang mahu beli cicak itu. Malah rakan-rakan apabila ditanya, mereka juga tidak tahu perkara ini,” katanya.


Sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini melaporkan sebuah syarikat dari negara jiran mahu mendapatkan bekalan cicak dari Malaysia sebagai makanan ikan, kira-kira 1,000 ekor sebulan.


Ia sekali gus mendorong penoreh getah memburu reptilia itu di rumah, kawasan terbiar atau di reban ayam selepas habis waktu menoreh.


Norlida Ishak Shop